PERIKATAN Nasional (PN) telah pun memuktamadkan rundingan agihan kerusi dan memutuskan untuk bertanding di semua 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi enam negeri yang menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di 83 kerusi; Pas (126 kerusi) dan Gerakan pula di 36 DUN.
Menurut beliau, Bersatu bakal berentap di 64 kerusi yang bukan penyandang iaitu dimiliki parti lain dengan Pas di 50 kerusi manakala Gerakan di 36 kerusi.
“Rundingan kerusi berjalan dengan agak lancar, tiada perselisihan faham yang boleh mencetuskan masalah.
“Rundingan kita agak teratur dan beradab serta dapat dimuktamadkan lebih awal daripada tarikh PRN yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memaklumkan, gabungan itu sedang dalam persiapan di peringkat akhir untuk memuktamadkan manifesto atau aku janji bagi setiap negeri yang akan menghadapi PRN.
Baca artikel berkaitan: Warlord UMNO sertai PN hanya persepsi, kata Mahdzir
Jelas beliau, manifesto itu akan diumumkan di setiap negeri yang akan ditandingi kelak.
“Kami yakin usaha-usaha yang telah kita mulakan sehingga sekarang nampak amat menggalakkan.
“Pelancaran gerak kerja jentera yang telah pun diadakan di hampir semua negeri bukan sahaja mendapat penyertaan dan sokongan daripada ahli parti sahaja tetapi juga hampir sebahagian besar pengundi di mana sahaja kita adakan majlis itu.
“Kami cukup yakin dengan trend yang akan dan terus berlaku. Satu gelombang besar akan berlaku dan ini akan memberikan kita peluang dan kesempatan agak baik untuk mencapai kemenangan yang cemerlang dalam PRN ini.
“Jentera di peringkat negeri berada dalam tahap tertinggi dan komited dalam gerak kerja untuk mempertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah di samping menawan tiga lagi negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan,” jelas beliau.
Mengenai penggunaan logo, Muhyiddin berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo PAS, manakala empat negeri lagi akan menggunakan logo PN, sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

