HANGAT di media sosial mengenai dakwaan netizen tentang percintaan antara penyanyi Khai Bahar bersama penyanyi dan pelakon, Nabila Razali.
Ujar Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin dia menyangkal dakwaan tersebut kerana mereka sebenarnya sudah lama berkawan baik malah keakraban mereka mulai terlihat sejak wujud lagu duet berjudul Selagi Ku Ada.
“Kami hanya berkawan baik sahaja, dan memang lama rapat tapi netizen nampak makin akrab tu sebab kami dapat luang masa banyak bersama-sama sejak lagu duet kami. Jadi, mereka nampak kami seperti pasangan kekasih.
“Kami berada dalam industri yang sama, jadi kami saling bantu-membantu antara satu sama lain. Apa yang nak ditegur, apa yang nak diperbetulkan, kami saling bertukar pendapat,” jelasnya.
Sementara itu, penyanyi berusia 29 tahun itu akui selesa berkawan rapat dengan Nabila malah merasakan bakal suaminya bernasib baik jika teman rapatnya itu menjadi isteri seseorang suatu hari nanti.
Tambahnya, dia belum berfikir lagi soal jodoh kerana baru sahaja memulakan perniagaan menjual tudung penjenamaan sendiri dan suatu hari nanti tudung tersebut akan disarungkan kepada bakal isterinya.
“Cuba tanya Bella ada teman lelaki tak? Tapi saya lebih selesa berkawan rapat sahaja dengan dia. Saya harap dapat berkawan dengan dia sampai bila-bila. Saya rasa bakal suami dia sangat beruntung kalau dapat Bella sebagai isteri.
“Saya belum fikir lagi soal jodoh ni sebab saya baru sahaja mula jual tudung. Jadi, tunggulah suatu masa nanti saya akan sarungkan tudung kepada bakal isteri saya,” selorohnya kepada URTV.
Tidak tergugat dengan jenama tudung artis lain
Penjualan tudung jenama KhaiRose yang baru bermula sejak dua minggu lalu, penyanyi lagu Bayang itu tidak berasa tergugat dengan perniagaan tudung oleh artis-artis lain.
Tambahnya, dia merasakan produk jualan itu mengikut citarasa masing-masing malah dia turut mengikut pendapat dan keinginanan peminat untuk menjual tudung yang diinspirasikan dengan nama gabungan Khai dan ibunya, Rosnah Muhammad, 62.
“Artis lain memang banyak jual tudung tapi kalau kita cakap pasal produk cawan pun, ramai yang jual cawan. Ibaratnya, begitulah.
“Sejujurnya, saya memang nak buat bisnes dan salah satunya adalah tudung yang mana itu merupakan salah permintaan tinggi daripada para peminat saya. Sebelum saya memulakan bisnes tudung ni, memang saya tanya pendapat orang sekeliling saya,” katanya.
Cita-cita semasa kecil ingin menjadi arkitek direalisasikan oleh pelantun lagu Oh Wanita menerusi ukiran tudungnya menjadi kenyataan malah dia mempelajari untuk corak tudung melalui peranti Adobe Illustrator yang turut dibantu oleh adik iparnya.
“Ya saya memang design tudung tu sendiri. Sebenarnya, masa kecil impian saya nak jadi arkitek sebab saya suka melukis. Saya memang suka perkara yang berkaitan dengan seni.
“Saya tak ada belajar design tudung guna laptop atau PC pun. Sebulan yang lalu, saya mula belajar Adobe Illustrator dengan adik ipar saya. Jadi, ini merupakan design pertama saya dan saya harap selepas ini saya dapat buatkan lebih lagi design yang lagi baik,” ujarnya ketika ditemui di majlis eksklusif sesi Meet and Greet bersama Khai Bahar yang diadakan di Damansara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Kangar, Perlis itu turut berkongsi tentang sambutan hangat penjualan tudungnya yang mendapat respon baik malah ‘sold out’ semasa penjualan di siaran langsung TikTok.
“Alhamdulillah syukur, sambutan jualan tudung ni sangat memuaskan. Jadi, majlis ni adalah dilancarkan secara ekslusif. Haritu saya jual dekat Tiktok, terus habis. Saya sendiri yang siapkan proses order pelanggan. Saya harap bisnes tudung ini akan menjadi bertahan lama,” katanya.
Sementara itu, pelantun lagu Hilang Gelita, runut bunyi bagi OST Kisah Cinta Rumi bersyukur kerana kelab peminat masih lagi aktif dan setia menyokong dirinya dan sering mengadakan majlis bersama-sama untuk terus merapatkan ukhuwah masing-masing.

