KECOH di media sosial mengenai bualan netizen tentang ketidakhadiran pelawak, Jep Sepahtu ke majlis perkahwinan rakannya, yang juga pelawak dan usahawan iaitu Shuib dan Watie pada 23 Jun lalu.
Persoalan netizen akhirnya terjawab apabila suami kepada pelakon, Sari Yanti, memberikan jawapan yang padat dan ringkas serta bersahaja apabila ditanya mengenai perkara terbabit.
Ujar Jep atau Muhd Nadzri Zainal Abidin, dia tidak dijemput oleh usahawan Bubble Bee.
“Oh saya tak dijemput,” katanya secara ringkas.
Selepas daripada kejadian itu, dia tidak mengendahkan komen-komen warganet tentang persoalan yang sama malah sibuk melayan anak-anaknya semasa membuat siaran langsung menerusi akaun Tiktok miliknya.
Komen-komen netizen juga menggambarkan berpuas hati dengan jawapan bersahaja milik pelawak berusia 38 tahun itu.
“Steady je Jep jawab, tak payah meleret-leret. Simple.
“Alah. Jep pun tak kebulur nak pergi.
“Benda boleh direct, nak kias-kias buat apa,” tulis netizen.
Pada 23 Jun lalu, Shuib atau Shahmira Muhamad sah menjadi suami kepada usahawan, Watie, dengan sekali lafaz di Putra Glass House, Putra Heights.
Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu dalam sebuah majlis tertutup.
Untuk rekod, Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.
Namun, Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

