MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang terlibat dalam kekecohan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin menuntut supaya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membuat permohonan maaf.
Ia susulan gesaan Muhamad Akmal supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas termasuk memecat King Sing ekoran insiden tersebut.
Memetik laporan Malaysiakini, King Sing meminta Muhamad Akmal supaya ‘jangan merepek’ sekiranya tidak mengetahui keseluruhan kejadian yang berlaku.
Menurut King Sing, ciri seorang ahli politik yang baik adalah dapat menjaga ekonomi negara.
“Jika dia dapat menjadi seorang ahli politik yang baik untuk membantu negara, saya sangat menghargainya.
“Tetapi jika dia tidak tahu cara menjadi seorang ahli politik, tolong jangan cakap merepek.
“Jika anda tahu keseluruhan cerita tentang apa yang sedang berlaku, jangan hanya mengikuti media sosial.
“Saya patut menuntut supaya dia meminta maaf kepada saya, beritahu dia itu,” katanya menurut laporan tersebut.
Mengulas lanjut, King Sing berkata beliau telah pergi ke KLIA bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada kira-kira pukul 3 pagi selepas dimaklumkan tentang penahanan wanita warga China itu melalui panggilan telefon daripada kakitangan Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, China.
Wanita itu dilaporkan bekerja untuk stesen televisyen kerajaan China.
Malah, King Sing menegaskan beliau bersedia berdepan dengan Kabinet susulan dakwaannya mengenai budaya rasuah dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen.
“Ya, tiada masalah. Saya boleh katakan, saya tiada isu. Saya tidak mempunyai sebarang agenda.
“Kerana yang pertama kita mesti memberi keyakinan kepada pelancong dari seluruh dunia untuk datang,” katanya.
Baca artikel berkaitan: ‘Kehadiran saya bongkar budaya rasuah’, King Sing akui kekecohan KLIA
Semalam, Muhamad Akmal meminta supaya Perdana Menteri mengambil tindakan tegas termasuk memecat seorang menteri yang didakwa membuat kekecohan di KLIA.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan, perbuatan menteri berkenaan tidak boleh diterima sama sekali oleh semua rakyat Malaysia.
Seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA selepas mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.
Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.
Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.
King Sing dalam kenyataannya selepas itu mengakui beliau adalah individu yang dimaksudkan dalam insiden tersebut.
Namun, Ahli Parlimen Bintulu itu mendedahkan , beliau telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
Pada masa sama, dakwaan bahawa beliau dikatakan ‘menceroboh’ masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan juga tidak benar.
King Sing turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduh beliau melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak Imigresen.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

