PENGGUNA media sosial, John Dihani yang mahu disaman oleh pelawak dan penyampai radio, Shuib telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi hantaran di Instagram, John mengakui terkhilaf memuat naik gambar poster iklan barangan kemas yang memaparkan wajah Shuib dan Watie Hanifiah sebagai anggota pertubuhan Freemason.
“Saya John Dihani dengan rendah hati dan penuh penyesalan di atas khilaf yang saya lakukan. Dengan ini saya ingin membuat permohonan maaf terbuka kepada Shuib dengan penuh ikhlas berkaitan hantaran (posting) saya pada 30.6.2023 sehingga mengundang fitnah ke atas dirinya.
“Dan disebabkan hantaran dalam Instagram, ramai yang meninggalkan komen. Tindakan saya mengiyakan komen ditinggalkan pengguna lain sehingga terjerumus dan membawa kepada fitnah kepada Shuib dan arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah,” tulisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Shuib ‘buru’ seorang lagi pengguna media sosial bernama John Dihani, surat saman sudah dihantar, Isu Freemason : Shuib maafkan Zulhairi, “Saya menyesal dan ambil pengajaran” – Zulhairi mohon maaf secara terbuka kepada Shuib
John turut mendedahkan hantaran yang dibuat itu diambil dari akaun Facebook orang lain.
“Jauh dan ikhlas di sudut hati, saya menyesali tindakan saya berkongsi hantaran yang saya ambil daripada akaun Facebook orang lain tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada perkongsian membuta tuli kepada Shuib sekeluarga,” jelasnya.
Sementara itu, menerusi sidang media tengahari tadi, Shuib menegaskan mahu berjumpa dengan John di mahkamah biarpun individu tersebut membuat permohonan maaf kepadanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

