PELAWAK dan penyampai radio, Shuib tetap bertegas untuk mengeheret seorang lagi pengguna media sosial yang menggunakan nama John Dihani ke muka pengadilan kerana menyifatkan individu tersebut sebagai biadab.
Jelas Shuib atau Shahmira Muhammad,39, biarpun lelaki itu sudah menghubungi dan memohon maaf kepadanya semalam, namun Shuib teguh dengan pendirian untuk berjumpa di mahkamah.
“Dia ada menghantar mesej langsung kepada saya semalam untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, tetapi saya buat keputusan tak mahu berjumpa.
“Sebarang perbincangan boleh dibuat melalui peguam dan surat sudah dihantar kepadanya.
“Saya tidak mahu berjumpa dengannya kerana caranya sangat berlagak. Sedangkan, saya tidak kenal dia dan tidak pernah mengusik keluarganya.
“Jika dia merasakan dirinya hebat sangat, bolehlah berjumpa saya di mahkamah. Cara dia sangat biadab,” katanya kepada URTV.
ARTIKEL BERKAITAN:Isu Freemason : Shuib maafkan Zulhairi, “Saya menyesal dan ambil pengajaran” – Zulhairi mohon maaf secara terbuka kepada Shuib
Tambah Shuib, peguamnya sudah menghantar surat saman kepada John dan yakin individu tersebut sudah menerima surat tersebut.
“Saya percaya John dah dapat surat saman yang dihantar oleh peguam saya. Saya ada nombor telefon dan alamat John.
“Apa-apa pun, saya nak serahkan kes ini kepada peguam dan kita akan bertemu di mahkamah nanti,” jelasnya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui pada sidang media tergempar yang diadakan di Cheras, hari ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

