BEKAS Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh mengakui mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebanyak dua kali selepas keluar daripada MIC.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Negara itu menafikan bahawa beliau akan menyertai PN.
Memetik laporan Malaysiakini, Sivarraajh memaklumkan pertemuan itu adalah perjumpaan biasa.
Katanya, beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti mahu pun menubuhkan parti baharu.
“Saya memang jumpa Hamzah sebanyak dua kali selepas saya dipecat sebagai ahli CWC (jawatankuasa kerja pusat MIC). Beliau menghubungi saya untuk berjumpa dan saya pergi jumpa.
“Tapi, kami tidak bincang apa-apa mengenai masuk PN. Ia hanya satu perjumpaan biasa sahaja,” katanya.
Malah, bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Padang Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin kerajaan.
“Buat masa ini saya masih ‘orang bebas’. Saya tidak ada masalah berjumpa dengan sesiapa.
“Sebelum ini saya berjumpa dengan beberapa pemimpin dari kerajaan tapi saya belum membuat keputusan sertai mana-mana parti.
“Saya akan mempertimbangkan segala pilihan yang ada sebelum mengambil keputusan mengenai masa depan kerjaya politik saya,” katanya.
Baca artikel berkaitan: MIC mahu kerjasama BN-PH diputuskan secara konsensus
Penjelasan itu hadir selepas Sivarraajh dikatakan akan menyertai PN untuk mengetuai satu jawatankuasa khas bagi kaum India.
Beberapa sumber MIC dan Bersatu seperti dipetik Malaysiakini turut menyatakan bahawa Sivarraajh akan menyertai PN.
Sivarraajh mengumumkan keluar dari MIC berkuat kuasa serta-merta selepas kira-kira dua minggu dipecat sebagai ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti tersebut.
Beliau turut memaklumkan peletakan jawatan sebagai Ketua MIC Cawangan Taman Bukit Kuchai Baru, Puchong, Selangor.
Jelasnya, keputusan itu dibuat bagi melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebagai Ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India tanpa sekatan mana-mana pihak.
Beliau juga mendakwa MIC menganggapnya sebagai ‘ancaman’ kepimpinan dan disekat dengan pelbagai cara daripada meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat serta negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

