Gendang sudah dipalu, tirai ‘perang’ enam PRN dibuka

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEBENTAR tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun mengumumkan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak dengan 12 Ogos sebagai tarikh pengundian.

Ia sekali gus menandakan tirai ‘perang’ PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah pun dibuka.

Setelah kira-kira lapan bulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilaksanakan, tumpuan kini pastinya terarah kepada PRN di enam negeri yang mengambil keputusan tidak mengikuti pembubaran Parlimen tahun lalu.

PRN kali ini tentunya amat menarik untuk disaksikan apatah lagi dengan ‘penyatuan’ Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas PRU-15 lalu.

Berbeza dengan PRU-15, enam PRN ini bakal menyaksikan pertembungan dua gabungan besar PH-BN menentang pencabarnya iaitu Perikatan Nasional (PN).

Gabungan PH-BN yang membentuk ‘Kerajaan Perpaduan’ pastinya mengharapkan ‘sentuhan’ di peringkat Persekutuan akan menjelmakan kemenangan di negeri.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meluahkan keyakinan dapat mempertahankan tiga negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dalam PRN ini.

Pada masa sama, Pengerusi PH itu juga tidak berselindung menyatakan peluang cerah untuk menakluk sekurang-kurangnya dua lagi negeri.

Keyakinan sama turut dilaungkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang optimis gabungan PH-BN itu mampu merampas Terengganu dan Kedah.

Bagaimanapun, isu pokok terutama melibatkan jerit-perih rakyat kebanyakan yang semakin terhimpit masih tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Bukan itu sahaja, gabungan PH-BN itu sendiri pun dikatakan belum betul-betul ‘serasi bersama’ terutama di peringkat akar umbi.

Perkara itu boleh dilihat apabila ada sahaja ‘pertengkaran terbuka’ dilemparkan sesama mereka.

‘Peluru’ itu sudah tentu menjadi modal serangan paling ampuh buat pencabarnya iaitu PN yang tidak boleh dipandang enteng.

Siapa boleh menyangka, PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh memberi saingan sengit sehingga berjaya memenangi 74 kerusi Parlimen dalam PRU-15 lalu.

‘Gelombang hijau’ yang hangat diperkatakan sudah tentu diharap dapat diteruskan sehingga PRN nanti.

Muhyiddin turut yakin sokongan padu kepada gabungan itu akan menjadi referendum rakyat kepada kerajaan Pusat.

Baca artikel berkaitan: PRN 6 negeri diadakan serentak, pengundian 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai

Walaupun demikian, seperti mana kerajaan, PN juga berdepan masalah mereka sendiri.

Beberapa pemimpin terpalit kes mahkamah, ada juga kehilangan kerusi akibat unsur rasuah.

Khabar angin turut bertiup kencang ‘percakaran’ dalaman berlaku dalam salah satu parti komponen PN iaitu Bersatu, walaupun dinafi keras Muhyiddin.

Tidak dilupakan, PRN kali ini menjadi medan buat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding sendirian sebagai ‘blok ketiga’.

Keputusan itu sebenarnya bukanlah mengejutkan kerana MUDA dilihat ‘dipinggirkan’ walaupun berada dalam kerajaan.

Ini juga merupakan penyertaan pertama MUDA secara bersendiri berbanding ‘bersama’ PH dalam PRN Johor 2022 dan PRU-15 lalu.

Dalam PRN Johor, biarpun memenangi satu kerusi menerusi Amira Aisya Abdul Aziz di DUN Puteri Wangsa tetapi boleh dikatakan majoriti sokongan disumbangkan penyokong PH.

Pada PRU-15 pula, MUDA hanya berjaya memenangi satu daripada enam kerusi yang ditandingi, itu pun menerusi Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan kerusi Parlimen Muar.

Justeru, menarik untuk dilihat apakah MUDA mampu menjelmakan saingan sengit kali ini, atau sekadar menjadi pengacau bagi memecahkan undi semata-mata.

Sebagai rekod, kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan (PH) serta Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi ‘pegangan’ Pas.

Kesemua enam negeri itu hanya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing penghujung Jun dan awal bulan ini kerana memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh, tahun lalu.

Hanya Pahang, Perlis dan Perak sahaja membubarkan DUN masing-masing mengikut langkah dilakukan kerajaan Persekutuan ketika itu.

Empat negeri lain iaitu Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula telah selesai mengadakan PRN masing-masing.

Secara keseluruhan, PRN kali ini melibatkan seramai 9,773,571 pengundi dengan Selangor seramai 3,747,057 orang, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

Selangor menjadi negeri yang mempunyai pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun paling ramai iaitu 274,194 orang disusuli Kedah dengan 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264) dan Negeri Sembilan (55,017).

Cakap-cakap politik mengatakan keputusan PRN nanti hanya mengekalkan status quo iaitu tiga berbalas tiga – PH-BN mengekalkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala PN terus menguasai Kedah, Terengganu serta Kelantan.

Semua pihak masih mempunyai 37 hari lagi untuk merencana strategi terbaik menarik hati pengundi memangkah calon mereka.

Gendang sudah pun dipalu, tirai ‘perang’ sudah dibuka, kempenlah secara berhemah kerana rakyat sentiasa memerhati.

Jangan nanti umpama menang sorak, kampung tergadai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Ajinomoto kukuh komitmen gaya hidup sihat di NMM 2026

AJINOMOTO (Malaysia) Berhad memperkukuh komitmen dalam mempromosi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif dan kesejahteraan masyarakat dengan sekali lagi tampil...

More Articles Like This