KEHADIRAN Tesla Inc yang bakal membuka ibu pejabatnya di Selangor akan menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa yang menceburi bidang teknologi bateri untuk melabur di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kehadiran Tesla di Selangor itu juga menggambarkan keyakinan komuniti pelabur terhadap pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik dan bersedia memudah cara kemasukan Tesla yang akan membuka Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman di negeri itu tahun ini.
Amirudin memaklumkan, antara lokasi yang telah dikenalpasti sebagai tapak sama ada di daerah Petaling atau Sepang dengan pejabat daerah serta pihak berkuasa berkaitan bersedia menyelaraskan proses kemasukan pelaburan itu.
“Kehadiran Tesla Inc di Selangor meningkatkan keinginan generasi muda untuk mendalami bidang teknologi tinggi khusus dalam industri tenaga bersih.
“Ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas dan van,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kerjasama dengan Elon Musk bawa puluhan ribu pekerjaan, Tesla setuju pejabat di Cyberjaya
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pengumuman Perdana Menteri berkaitan hasil perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Selangor negeri fasiliti 5G paling cekap di Asia Tenggara.
“Ia antara asas untuk menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi khususnya kepada rakyat Selangor,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan telah mengadakan pertemuan secara maya dengan Elon Musk, pagi tadi.
Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pertemuan melalui persidangan video itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Difahamkan, sidang video diadakan di Pejabat Perdana Menteri itu bermula pada pukul 9.30 pagi selama kira-kira 25 minit.
Semasa pertemuan tersebut, Anwar turut mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat milik Elon termasuk Tesla di Malaysia.
“Turut mengucap tahniah dan dukungan kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

