KERTAS siasatan berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor dilaporkan hampir selesai.
Memetik laporan Sinar Harian Online, perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini.
Menurut Razarudin, kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) itu sudah lebih 90 peratus siap.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berdasarkan segala maklumat yang sudah dikumpulkan.
“Ini termasuk keterangan daripada saksi yang berkaitan serta kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Razarudin memaklumkan pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan sebaik sahaja kertas siasatan itu selesai disiapkan.
“Kita berusaha sedaya upaya dalam melengkapkan kertas siasatan ini dalam kadar segera untuk ke langkah susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Baca artikel berkaitan: Fakta tak berubah, Saifuddin alu-alukan saman Sanusi
“Saya juga berpuas hati dengan proses siasatan yang sudah dilakukan termasuk kerjasama daripada Muhammad Sanusi yang datang untuk rakaman keterangan pada 14 Julai lalu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan bahawa kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung isu sama juga hampir selesai.
“Kertas siasatan mereka juga turut akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, untuk tindakan susulan,” ujarnya.
Sabtu lalu, Muhammad Sanusi memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.
Melalui kenyataan bertajuk ‘Apa gunanya Menangguk di Air Nan Keroh’, Sanusi berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan konteks ucapannya.
Bagaimanapun, hari ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan dimuat naik Facebook rasmi Selangor Royal Office bertitah bahawa isu melibatkan Muhammad Sanusi masih belum selesai walaupun telah menghantar warkah memohon ampun.
Dalam hantaran tersebut, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Pada masa sama, Sultan Selangor turut berkenan menerima menghadap Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

