PENYANYI Shila Amzah mengambil pendekatan tidak mahu mengambil tahu hal peribadi ibu dan bapanya iaitu Datuk ND Lala serta Datin Fauziah Sarman yang didakwa hubungan mereka sedang dilanda badai.
Ujar Shila atau Nurshahila Amir Amzah,33, sebelum ini timbul pelbagai isu mengenai perkahwinan orang tuanya yang dikatakan sudah berpisah.
Namun, sebagai anak, dia sebolehnya enggan memberi kenyataan bagi pihak mereka.
“Saya tak berani nak bagi sebarang komen bagi pihak ibu dan ayah saya sebab yang berkahwin itu mereka berdua.
“Saya tak tahu dan tidak ambil tahu urusan mereka. Baru-baru ini, ayah hadir ke majlis pertunangan saya pun atas dasar keluarga,” katanya kepada URTV.
ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah beri bayangan bakal berkahwin pada Ogos ini – “Saya akan kongsi tarikh nikah selepas ibu Ubai keluar hospital,”
Penyanyi Patah Seribu itu berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media konsert Rockmantic Night Judika and The Gang di Pavilion, Kuala Lumpur.
Tambah Shila yang menghitung hari untuk majlis pernikahannya itu lagi, dia hanya mengetahui status ibu bapanya masih lagi suami dan isteri apabila perlu mengisi borang nikah.
Jelas Shila, bapanya akan menjadi wali ketika upacara ijab dan qabul bersama Ubai tidak lama lagi.
“Urusan borang perkahwinan saya dah selesai diisi. Jadi bermakna, mereka masih bersama (suami dan isteri).
“Itulah status rasmi mereka. Mereka tahu apa yang perlu diutamakan.
“Ayah saya pun dah menandatangani borang untuk menjadi wali saya pada hari nikah nanti,” ungkapnya.
Pada 1 April lalu, Fauziah mendedahkan foto dan nama seorang wanita yang didakwa penyondol rumah tangganya bersama ND Lala.
Malah, pada 3 April lalu, Fauziah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi bertujuan untuk memfailkan penceraian terhadap ND Lala.
Walau bagaimanapun, kedatangan Fauziah ke sana atas sebab mahu bercerai telah dinafikan adik Shila iaitu Syada Amzah.
Sekadar info, ND Lala atau Amir Amzah Salleh,62, berkahwin dengan Fauziah pada 1989.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurshahila,33, Amir Syafiq,30, Amir Syahir, 28 dan Nur Syuhada yang berusia 25 tahun.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

