DATUK Hasnal Rezua Merican Habib Merican digesa untuk segera meletakkan jawatan sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Ia susulan penyertaan Hasnal Rezua yang diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
CSO Platform for Reform dalam kenyataan menegaskan pelantikan seorang pemimpin politik ke jawatan penting dalam SUHAKAM menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan suruhanjaya itu.
Malah, CSO Platform for Reform berkata, ia juga membangkitkan persoalan tentang keupayaan SUHAKAM berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar.
Menurut kenyataan itu, SUHAKAM bertujuan untuk menjaga prinsip akauntabiliti dan menghormati hak asasi manusia.
“Namun begitu, kehadiran seorang pemimpin politik dalam SUHAKAM menimbulkan kebimbangan bahawa fungsi suruhanjaya itu mungkin terjejas.
“SUHAKAM mestilah bebas daripada sebarang pengaruh politik dan eksekutif.
“Keberadaan Hasnal Rezua yang juga merupakan seorang pemimpin politik di SUHAKAM merupakan perkara membimbangkan apatah lagi partinya adalah sebahagian kerajaan ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Shaiful Hazizy calon BN di DUN Tanjung Dawai
Mengulas lanjut, CSO Platform for Reform berkata, potensi untuk percanggahan kepentingan apabila Hasnal Rezua masih lagi berada dalam SUHAKAM menimbulkan kebimbangan lebih mendalam.
Justeru, pihaknya turut menekankan keperluan untuk penelitian terhadap pelantikan pesuruhjaya yang dibuat tahun lalu.
Katanya, pemimpin politik tidak sepatutnya dilantik ke pejabat pesuruhjaya bagi memastikan kebebasan SUHAKAM.
“Kami menyeru Hasnal Rezua menegakkan integriti SUHAKAM dengan segera meletakkan jawatan sebagai Pesuruhjaya.
“Langkah itu penting untuk melindungi kebebasan dan kredibiliti SUHAKAM dan untuk menunjukkan komitmen terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia tanpa sebarang kemungkinan kepada percanggahan kepentingan,” katanya.
Hasnal Rezua telah diumumkan sebagai calon BN bagi DUN Kuang untuk menghadapi PRN Selangor, bulan depan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi DUN Kuang telah dimenangi calon Bersatu, Sallehudin Amiruddin atas tiket PKR.
Beliau menang dengan majoriti 2,860 undi mengatasi Datuk Abdul Shukur Idrus dari Barisan Nasional (BN); Mohd Fauzan Madzlan (Pas) dan Mohd Rafie Mohammad Arif dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Bagaimanapun, Sallehudin keluar daripada Bersatu selepas kejatuhan kerajaan PH peringkat pusat sebelum menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

