Amelia Henderson berjaya tangguh permohonan maaf, ganti rugi RM200,000

Dari Penulis

Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pelakon Amelia Henderson untuk menangguhkan permohonan maafnya kepada penerbit filem dan drama Datuk A. Aida kerana melanggar kontrak penggambaran sebuah drama, tahun lepas.

Hakim Zulqarnain Hassan berkata mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan Amelia, 28, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson untuk menggantung perintah permohonan maaf kepada kepada A. Aida menerusi syarikatnya A. Aida Production Sdn Bhd susulan rayuan kes itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan penggantungan perintah yang menghendaki permohonan maaf secara terbuka dan yang menghendaki penghapusan video daripada akaun Instagram defendan pertama (Amelia),” kata hakim itu ketika menyampaikan keputusan secara dalam talian hari ini.

Berhubung perintah pembayaran ganti rugi, Zulqarnain turut membenarkan penangguhan bayaran melebihi RM200,000 itu.

Bagaimanapun, hakim itu berkata mahkamah memerintahkan agar wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.

Pada 7 April lepas, Zulqarnain memerintahkan pelakon berdarah kacukan India-Scotland itu membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A. Aida menerusi syarikatnya kerana didapati melanggar kontrak penggambaran drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali’.

Hakim itu turut membenarkan permohonan A. Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April lalu.

Pada 18 April lepas, Amelia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan rayuan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 24 Okt ini.

Pada prosiding hari ini, syarikat produksi itu diwakili peguam Ashmadi Othman manakala Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur.

Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak.

SUMBER: Bernama


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This