TAN Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan sebanyak 18 pemimpin utama UMNO Ketereh meletak jawatan masing-masing dan beramai-ramai keluar daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.
Anak Annuar, Afiq Amani turut meletak jawatan selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh dan kesemua pemimpin itu menyatakan sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan yang akan berlangsung 12 Ogos ini.
Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) menjelaskan, kepimpinan itu terdiri daripada Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh iaitu Kamaruddin Said dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh, Sabariah Hamzah.
“Selain itu, 18 kepimpinan melibatkan setiausaha, ahli jawatan kuasa (AJK) Wanita, ketua penerangan, AJK Pemuda dan pelbagai peringkat UMNO Bahagian Ketereh turut berbuat tindakan sama hari ini.
“Selain itu, 20 AJK Jawatan Kuasa UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa di Kota Bharu termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap secara beramai-ramai meletakan jawatan serta-merta.
“Keadaan itu juga menjadikan bahawa Jawatan Kuasa UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa dibubarkan,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Kota Bharu hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Afiq Amani berkata, tindakannya keluar parti itu dibuat atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak lain termasuk bapanya.
Katanya, keputusan tersebut diambil susulan perjuangan UMNO sudah tidak selari dengan perjuangan asal.
Menurutnya, susulan peletakan jawatan dan keluar dari UMNO, beliau tidak menyertai mana-mana parti termasuk Pas, sebaliknya mahu berehat daripada politik, namun akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, selepas beberapa bulan menjadi Ketua Pemuda UMNO Ketereh dan pada masa sama beliau melihat UMNO banyak tersasar daripada perjuangan asal.
“Perkara yang nyata apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng yang jelas berbaur perkauman.
“Selain itu, UMNO dilihat mengenepikan rakan-rakan dalam parti sebaliknya menjulang rakan baru seperti DAP,” katanya, menurut Harian Metro.

