SEORANG lelaki yang dipercayai pemilik akaun Facebook @SamBanjar Perak hari ini ditahan kerana memuat naik hantaran berbaur hasutan serta menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Bera, Pahang.

“Lelaki berkenaan disyaki pemilik akaun Facebook @SamBanjar Perak telah memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata lelaki itu direman empat hari hingga 18 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah dan mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (raja, agama, kaum),” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram