Nahas Elmina: PM ziarah keluarga mangsa, sedia bantuan uruskan jenazah

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KERAJAAN menyediakan bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, kerajaan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk menguruskan jenazah.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga akan menampung semua kos kelengkapan dan penginapan keluarga mangsa nahas Elmina itu sementara proses bedah siasat dan pengesanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilaksanakan.

“Sekarang ini kita bagi semua bantuan yang diperlukan untuk uruskan jenazah, semua kelengkapan dan penginapan.

“Selain itu, kerajaan akan memberikan bantuan kepada keluarga untuk menampung (keperluan) terutama kepada yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi pihak keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi itu di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, hari ini.

Perdana Menteri meluangkan masa bertemu waris mangsa nahas itu sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar Rahimiah, Klang.

Ketibaan beliau pada jam 12.55 tengah hari disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Baca artikel berkaitan: Menantu Presiden JCorp antara mangsa nahas Elmina

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang; Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa turut hadir menziarahi keluarga mangsa.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan proses bedah siasat dan pengesanan sampel DNA terhadap 10 mangsa yang terkorban itu akan dipercepat bagi memudahkan pengurusan jenazah.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan sepanjang proses tersebut berlangsung.

Anwar meluahkan rasa bangga dengan pengurusan operasi yang cekap selepas nahas tersebut berlaku.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan minta supaya bersabar, tiada siapa boleh jangka cuma yang dilakukan sekarang ialah mempercepatkan proses forensik dan ujian DNA.

“Sebaik selesai semua, (jenazah) akan diuruskan oleh kerajaan sama ada Majlis Agama, Kerajaan Selangor dan jabatan berkenaan. Kita akan bantu meringankan beban keluarga.

“Saya ikuti (perkembangan kejadian terbabit) dari semalam. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana petugas keselamatan, jabatan agama, jabatan forensik dan beberapa badan kebajikan lain daripada kerajaan (bertindak pantas dan cekap).

“Persiapan penginapan semuanya diuruskan dengan begitu cekap dan saya bangga serta berterima kasih kepada mereka yang terbabit,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Polis sahkan Haim Hilman digari, tegaskan ikut prosedur

POLIS mengesahkan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berada dalam...

More Articles Like This