PENJAWAT awam kini diberi kebenaran dan kelonggaran untuk memakai pakaian batik pada setiap hari waktu bekerja, bukan lagi hanya pada setiap hari Khamis seperti sebelum ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketetapan berkenaan mengambil kira kesesuaian pakaian bekerja penjawat awam dengan realiti iklim tempatan dan keperluan kecekapan tenaga di premis kerajaan.
Nik Nazmi memaklumkan, keputusan itu telah dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Akta Pemuliharaan dan Kecekapan Tenaga (EECA) dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Ogos lalu.
“Turut dibangkitkan dalam pembentangan tersebut adalah berkenaan Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014: Garis Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis Kerajaan yang antara lain menetapkan supaya suhu di bangunan dan premis Kerajaan diselaraskan kepada 24°C hingga 25°C,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi menyifatkan keputusan itu turut mengambil kira iklim negara ini dan komitmen kerajaan untuk mencapai aspirasi pembebasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050.
Katanya, aspirasi itu boleh dicapai dengan mengurangkan jejak karbon daripada amalan penggunaan tenaga elektrik.
“Hal ini bagi memberi keselesaan kepada penjawat awam untuk menyesuaikan cara pemakaian dengan perubahan suhu premis yang telah ditetapkan dalam usaha kerajaan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, menyokong inisiatif kecekapan tenaga dan sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia.
“Cadangan perubahan terhadap kod etika pakaian ini juga akan dipanjangkan kepada semua Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
Baca artikel berkaitan: PM isytihar 3 Disember Hari Batik Malaysia
Terdahulu, surat edaran ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed, memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain, digalakkan.
Peraturan itu yang berkuat kuasa 21 Ogos 2023 dinyatakan dalam surat edaran “Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan” bertarikh semalam.
Menurut surat edaran itu, ketetapan pemakaian batik itu dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.
“Pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam telah dilaksanakan sejak 1985.
“Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain,” demikian menurut surat edaran itu.
Surat edaran itu turut menyatakan melalui ketetapan baharu itu, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, dibatalkan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

