AHLI Parlimen Kulai, Teo Nie Ching diumumkan sebagai Ketua Wanita DAP yang baharu hari ini.
Pemilihan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital itu menggantikan Chong Eng yang memegang jawatan tersebut selama 22 tahun.
Chong Eng bagaimanapun dilantik sebagai Penasihat Wanita DAP.
Nie Ching yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dipilih pada pemilihan Wanita DAP sempena Kongres Wanita parti itu, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin pula diumumkan sebagai Timbalan Ketua Wanita.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasturiraani dipilih sebagai Naib Ketua.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula disenarai sebagai Ahli Jawatankuasa Wanita DAP.
Semua jawatan dipilih tanpa pertandingan berikutan hanya 15 pencalonan diterima untuk 15 jawatan dalam barisan kepemimpinan sayap wanita parti itu.
Baca artikel berkaitan: Syed Saddiq tunjuk ego tertinggi kepada DAP – Sheikh Umar
Memetik laporan BH Online, Nie Ching komited untuk memberi tumpuan kepada usaha mengarusperdana Wanita DAP dan memperkasa agenda wanita.
Menurut Nie Ching, apa yang lebih penting ketika ini adalah usaha kesamarataan jantina dalam DAP yang mana wanita dalam parti itu diberikan layanan sama rata di semua peringkat.
“Jika wanita ada wakil di semua peringkat kepemimpinan, maka lebih mudah perjuangan dan pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan, ” katanya
Sementara itu, Chong Eng berkata, beliau tidak mempertahankan jawatan kerana merasakan sudah tiba masanya untuk mengundur diri dan bagi laluan kepada generasi kepemimpinan baharu.
“Sudah cukup rasanya sejak saya berada dalam parti sejak 1992 lagi dan menjadi Ahli Parlimen pada 1999 dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang dan menjadi Ketua Wanita sejak 2001.
“Sekarang pun sayap wanita sudah semakin kuat selari dengan kekuatan DAP kini yang menjadi sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika pada 1999 hanya ada tiga daripada 10 wakil rakyat DAP di Parlimen wanita, kini jumlahnya semakin ramai dan ada wakil di DUN juga serta yang dipilih sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau menegaskan perkembangan Wanita DAP memberangsangkan dan kini diiktiraf sebagai sebahagian pemegang taruh dalam barisan kepemimpinan parti.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

