Belanjawan 2024 Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat, peruntuk RM393.8 bilion

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

BELANJAWAN 2024 Malaysia MADANI dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan sebanyak RM393.8 bilion diperuntukkan – nilai tertinggi berbanding bajet-bajet yang dinyatakan sebelum ini.

Bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’, peruntukan bagi Belanjawan 2024 itu juga meningkat berbanding RM388.1 bilion dalam Belanjawan 2023 iaitu bajet pertama Kerajaan Perpaduan, Februari lalu.

Segak berbaju Melayu berwarna ungu bersamping, Anwar memulakan pembentangan kira-kira pukul 4.05 petang itu dengan Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 77.

Perdana Menteri memaklumkan, pesanan daripada Allah SWT kepada manusia itu amat mengesankan dan memerlukan tekad merencana kaedah bagi menjamin kesejahteraan warga dalam zaman yang serba galau serta mencabar memandangkan marcapada tidak lagi seperti dahulukala.

Sebanyak RM2 bilion turut diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.

Mengenai Belanjawan 2024, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, perbelanjaan tahun hadapan itu memperuntukkan RM303.8 bilion untuk belanja mengurus manakala RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.

Anwar berkata, penambahan itu menunjukkan, kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.

Menurut Perdana Menteri, Belanjawan 2024 menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.

Beliau berkata, Belanjawan 2024 menggariskan tiga tumpuan iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.

Pada masa sama, sebanyak 12 ikhtiar dirancang bagi memastikan belanjawan itu mencakupi seluruh lapisan masyarakat.

Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2024: Ganjaran kepada agensi penguatkuasa yang cemerlang

Memberi penekanan kepada penyaluran terus pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, beliau berkata sebanyak RM58.1 bilion disediakan tahun depan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan.

Beliau berkata penekanan akan diberikan kepada penyaluran terus bantuan tunai kepada rakyat susah di samping menyediakan pendidikan, kesihatan dan insfrastruktur asas untuk semua.

Menyenaraikan beberapa langkah reformasi percukaian yang akan dilaksanakan tahun depan seperti kadar Cukai Perkhidmatan, penguatkuasaan Cukai Keuntungan Modal, memperkenalkan Cukai Barang Bernilai Tinggi, Anwar berkata langkah itu tidak akan membebankan majoriti rakyat.

Beliau berkata pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa dan sebahagian daripada hasil penjimatan subsidi itu akan disalur terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Antara penyasaran semula subsidi itu melibatkan bahan api diesel dan elektrik manakala bagi subsidi ayam dan telur, kawalan harga sementara sebelum ini akan diapungkan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan itu.

Mengenai subsidi bersasar elektrik yang menyaksikan kerajaan masih menanggung subsidi elektrik RM16 bilion pada tahun ini bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Anwar berkata kerajaan akan menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik, sekali gus menggalakkan kecekapan penggunaan tenaga seharian.

Beliau berkata Malaysia, yang merupakan negara ketiga tertinggi dunia untuk subsidi petrol dengan harga petrol RON95 antara termurah di dunia, berdepan isu ketirisan yang serius akan merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.

“Bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur… Kerajaan tidak akan berdiam diri sekiranya penyasaran semula subsidi dijadikan alasan untuk menaikkan harga dengan sembrono dan tidak munasabah,” kata beliau.

Selain itu, sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin yang kini berdepan serangan rejim Zionis, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Malaysia melancarkan tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin.

Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga disarankan untuk mengumpulkan dana RM100 juta bagi tujuan sumbangan kepada Palestin.

Di akhir pembentangan, Perdana Menteri turut memetik kisah menarik antara Khalifah Umar Abdul Aziz dengan anaknya, Abdul Malik yang memberikan gambaran pentingnya kaedah berhemah dan berhati-hati dalam melakukan perubahan.

“Seraya nasihat Umar tatkala Abdul Malik menggesa ayahnya bertindak dengan lebih tegas dan pantas segera dengan teguran, “Ayahanda, mengapa tidak dilaksanakan (perubahan yang lebih pantas)? Demi Allah, aku sedia seandainya kita berdua terkorban demi menegakkan kebenaran!.

“Khalifah Umar menjawab, “Wahai anakanda, jangan kamu bersikap gopoh. Allah menyelar arak dua kali di dalam Al Quran dan mengharamkannya hanya pada ketiga kalinya.

“Aku bimbang, seandainya aku paksakan semua kebenaran ke atas manusia (sekaligus), mereka akan menolak keseluruhannya, (dan) ini bermakna akulah akan menjadi penyebab kerosakan lebih besar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, belanjawan ini merupakan suatu pernyataan iltizam kerajaan bagi memulihkan ekonomi dalam marcapada yang serba mencabar.

“Kerajaan sentiasa mendengar pandangan dan kritikan serta memulakan langkah yang hikmah supaya perjalanan ini lebih teratur,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kementerian Komunikasi buka dua pusat media

KEMENTERIAN Komunikasi membuka dua pusat media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi memudahkan urusan liputan dan penyebaran...

More Articles Like This