SEORANG penganggur yang menampar dua pemuda di kawasan parkir kereta sebelum tular di media sosial dikenakan denda RM4,500 oleh dua Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Tertuduh, Ong Hock Shin, 54, didenda oleh Majistret M.S. Arunjothy sebanyak RM1,800 atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Tan Huan Jin yang berusia 21 tahun.
Arunjothy mengarahkan tertuduh agar dipenjarakan 14 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Manakala Majistret Illi Marisqa Khalizan mengenakan denda sebanyak RM1,700 atas pertuduhan sama terhadap seorang lagi mangsa, Lim Wei Chuan, berusia 20 tahun.
Illi turut mengenakan denda sebanyak RM1,000 atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit jenis iPhone7 Plus dan iPhone14 Pro Max milik Wei Chuan.
Sekiranya gagal membayar denda itu, tertuduh diarahkan oleh Illi agar dipenjarakan masing-masing selama dua bulan dan sebulan bagi setiap pertuduhan itu.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Plaza Usahawan Crystal Ville Off di Taman Danau Kota, di Wangsa Maju sekitar jam 6 petang pada 14 Oktober lalu.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala bagi kesalahan melakukan khianat adalah mengikut Seksyen 427 Kanun sama.
Terdahulu peguam Ahmad Ikram yang mewakili tertuduh di hadapan kedua-dua Majistret merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda yang minimum memandangkan tertuduh menghidapi pelbagai penyakit.
“Tertuduh menghidap penyakit jantung, kolestrol tinggi, darah tinggi dan kencing manis.
“Saya difahamkan pengadu kes ini ketika kejadian telah melakukan provokasi terhadap tertuduh berkaitan mendiang ibunya sehingga menimbulkan rasa marah dan geram sebelum dia bertindak sedemikian,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi dan Zuhairi Osman masing-masing memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Semalam UtusanTV melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki menampar pengadu dan melempar telefon bimbit rakannya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

