JAM Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dibuka bidaannya untuk sumbangan membantu rakyat Palestin telah diserahkan kepada pemilik baharunya.
Zulkifli berkata, jam tangan pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada tahun 2017 itu mendapat bidaan tertinggi berjumlah RM135,000.
Jelasnya, beliau menyayangi jam berkenaan namun kasih sayang kepada saudara Islam di Palestin lebih tinggi dan diharapkan ia menjadi saksi pengorbanan kecil untuk mereka yang ada di bumi Gaza.
“Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex saya…kepada pemilik baharunya, seorang “Hamba Allah” daripada Pasir Gudang, Johor.
“Saya tanya kepada beliau, “Mengapa terdetik untuk membida dengan nilai RM135,000 pada 7 minit terakhir sebelum ditutup pada jam 12 tengah malam semalam?”
“Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Baca artikel lain: Dua kanak-kanak lemas dalam kolam udang
Zulkifli yang kini dalam perjalanan ke Abu Dhabi menambah, akan singgah ke Jordan untuk menyerahkan sendiri RM100,000 kepada pelarian Palestin di Amman melalui Muslim Care Malaysia.
Katanya lagi, baki RM35,000 akan diserahkan kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih iaitu MERCY Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, PAS Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction.
“Sehingga saat ini, Palestin masih berdarah. Terbaharu saya terima info, kem pelarian Palestin di Jabalia pula dibom tentera Zionis Israel,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Zulkifli melelong dan membuka bidaan jam tangan kesayangannya itu selama dua hari bermula Isnin untuk didermakan sepenuhnya kepada rakyat Palestin.
Beliau berkata, harga permulaan bidaan jam tangan mewah pemberian Raja Salman Abdulaziz Al Saud tersebut adalah pada RM40,000.
Menurut Zulkifli, jam itu dihadiahkan sebagai cenderamata buatnya ketika menyandang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan dan kotak jam tersebut hanya dibuka beliau selepas meletak jawatan sebagai menteri pada 2021.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

