SERAMAI 336 penumpang dan lima kru kereta api Ekspres Rakyat Timuran (ERT) terselamat selepas tren dinaiki mereka merempuh 14 ekor lembu di KM84.50 – KM84.75 antara Stesen Bahau dan Stesen Triang, Bera semalam.
Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata dalam kejadian sekitar 3.10 pagi itu tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan ke atas penumpang.
Katanya pelanggaran itu mengakibatkan kesemua lembu mati selain berlaku beberapa kerosakan pada tren lapan gerabak itu antaranya di bahagian enjin.
“Perjalanan tren dari Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan itu kemudian diteruskan selepas pemeriksaan kerosakan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Sementara itu, beliau berkata insiden berkenaan bukannya yang pertama dilaporkan di lokasi berkenaan, berikutan telah berlaku kejadian sama pada 31 Okt lepas apabila tren membawa 400 penumpang melanggar lima ekor lembu.
Beliau berkata tindakan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak terbabit termasuk penternak yang perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga haiwan ternakan mereka.
“Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkaitan perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk di masa akan datang,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

