SEKURANG-kurangnya tujuh penumpang dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta api bertembung di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat di Indonesia, lewat malam tadi.
Menurut Pengarah Utama Kereta Api Indonesia (KAI), Bobby Rashidin, jumlah mangsa yang cedera dan sedang menerima rawatan di hospital pula seramai 81 orang.Â
Beliau berkata, operasi menyelamat yang dilaksanakan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan risiko tambahan, mengambil masa kira-kira lapan jam, lapor Detik News.Â
Baca: ‘Saya kekal prinsip UMNO tarik sokongan, bukan tubuh kerajaan tebuk atap’ – Akmal
Sementara itu, Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, kereta api jarak jauh Argo Bromo Anggrek merempuh bahagian belakang gerabak sebuah kereta api KomuterLine (KRL) yang sedang berhenti di landasan 1, menuju ke Cikarang.
Tambahnya, dalam nahas itu,kesemua mangsa itu merupakan penumpang gerabak khas wanita milik tren komuter (KRL).
Beliau berkata, siasatan rasmi telah dimulakan bagi mengenal pasti punca insiden yang mungkin menjurus ke arah kegagalan prosedur operasi atau sistem isyarat yang membolehkan du tren berada di landasan sama.
Dalam pada itu, pihak KAI mengesahkan bahawa kesemua 240 penumpang tren jarak jauh dilaporkan selamat.
Jelas syarikat itu, bekalan elektrik di laluan terjejas juga terpaksa dihentikan bagi membolehkan pasukan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan selamat.
Pihak berkuasa turut menegaskan angka kematian berkemungkinan meningkat sementara proses pengesahan dan mengeluarkan mangsa selesai sepenuhnya.

