SEORANG pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendesak gencatan senjata dengan segera di Semenanjung Gaza, Palestin selepas serangan bom dilakukan rejim zionis Israel membunuh 19 ahli keluarganya, 25 Oktober lalu.
Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM, Dr Wesam Almahallawi memaklumkan, serangan bom di Gaza City itu turut mengakibatkan adik lelakinya syahid.
Beliau berkata, kekejaman dilakukan rejim zionis itu juga telah menyebabkan kematian ibu saudara, anak saudara dan sepupunya termasuk seorang kanak-kanak berusia 2 tahun.
Malah, katanya, serangan bom itu telah memusnahkan bangunan kediaman yang dihuni keluarga mereka dan kira-kira 200 orang lagi penduduk Gaza.

Menurut Wesam, beliau mengenangkan nasib ibu bapa dan adik-beradiknya lain yang ketika ini berhadapan situasi sukar di Gaza.
“Saya perlu menunggu berhari-hari untuk mereka membalas mesej kerana Israel menghentikan semua rangkaian telefon dan internet di Gaza.
“Setakat ini sudah empat hari saya tidak menerima apa-apa berita daripada adik perempuan saya yang berada di utara Gaza.
“Saya berharap gencata senjata dapat dilakukan dengan segera di Gaza. Penduduk Gaza termasuk keluarga saya di sana, sedang berjuang untuk hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Rakyat Gaza rasa tersisih di tengah serangan bertalu-talu Israel – Sukarelawan Palestin

Wesam memberitahu, ibu bapa, adik lelaki dan dua orang adik perempuannya terselamat dalam serangan bom berkenaan, namun terdapat kesukaran untuk menghubungi mereka.
Jelasnya, serangan bom di Gaza oleh tentera zionis menjadi lebih kerap pada waktu malam.
“Ibu saya berumur 65 tahun manakala bapa saya berusia 68 tahun. Mereka terpaksa berpindah-randah dari satu rumah ke rumah yang masih tidak dimusnahkan tentera zionis.
“Setiap malam, mereka berdoa agar dapat hidup keesokan harinya kerana serangan bom boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Penduduk Gaza hari ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman. Saya ada bertanya kepada keluarga jika mereka memerlukan wang.
“Namun, menurut mereka, segalanya telah musnah di bandar mereka dan tiada apa yang boleh dibeli,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

