PERLAWANAN pertama Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyztan yang dijadualkan pada Khamis, 16 November ini kekal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Azman, ketetapan itu dibuat selepas sesi pemeriksaan dan penilaian keadaan terkini padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.
Beliau berkata, sesi pemeriksaan dan penilaian itu turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.
Katanya, PSM menerusi pandangan dan nasihat daripada konsultan teknikal serta kontraktor telah menyatakan bahawa padang berkenaan berada dalam keadaan lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu.
“Selain itu, keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil juga mengambil kira faktor-faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan.
“Dengan pengesahan terbaharu ini, segala persiapan menjelang perlawanan tersebut akan terus dipergiat bagi memastikan kelancarannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pan Gon berharap pasukan kebangsaan dapat membuka tirai Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 menentang Kyrgyztan pada 16 November ini di stadium tersebut.
Pan Gon menyifatkan Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan ‘rumah’ bagi Harimau Malaya.
Baca artikel berkaitan: Pan Gon harap pertemuan lawan Kyrgyztan kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil
Beliau berkata, pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil juga dapat memudahkan urusan kehadiran penyokong sekali gus membolehkan lebih ramai yang hadir.
Harimau Malaya dijadualkan untuk memulakan cabaran kelayakan dalam Kumpulan D bertemu pasukan ke-97 dunia Kyrgystan, sebelum ke Taipei untuk bertemu Taiwan (152 dunia), pada 21 November.
Pestabola Merdeka merupakan kejohanan pertama diadakan di Stadium Nasional, selepas ditutup sejak Mac bagi menaiktaraf padang menggunakan rumput baru jenis Zeon Zoysia.
Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia berkedudukan ke-137 dunia, dijadualkan bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan masing-masing pada 21 dan 26 Mac, bertemu Kyrgyzstan di Bishek pada 6 Jun dan bertemu Taiwan pada 11 Jun di Malaysia.
Dua pasukan terbaik kumpulan akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak ke Piala Asia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bermain dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.
Piala Dunia 2026 akan dihoskan Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat secara bersama dengan format baharu 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini.
Juara tiga kali Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Asia buat kali pertamanya pada 2027.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

