Pengurusan lama salah tadbir urus punca Bubble Bee sangkut bayar caruman KWSP – “Dah buat rundingan untuk bayar secara ansuran”

Dari Penulis

PELAWAK dan usahawan Shuib tidak menafikan ada berlaku kelewatan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja syarikat minuman Bubble Bee miliknya seperti yang tular di media sosial hari ini.

Menurut Shuib atau Shahmira Muhammad,39, perkara tersebut berlaku disebabkan masalah  pihak pengurusan terdahulu yang tersilap mengatur urus hal syarikat. 

Bagaimanapun jelas Shuib, pihaknya ada berhubung dengan KWSP pada awal tahun dan membuat perbincangan untuk menyelesaikan bayaran tersebut secara ansuran.

“Kami akui Bubble Bee ada ‘sangkut’ bayar KWSP, cuma saya nak buat pencerahan apabila surat layang itu dikeluarkan seolah-olah kami langsung buat tak tahu mengenai caruman KWSP setiap kakitangan kami.

“Perkara ini tidak baik dan saya nak jelaskan di sini, sejak awal tahun ini kami ada berhubung dengan KWSP serta maklumkan mengenai masalah dihadapi. 

“Pihak kami juga sedia maklum ada tunggakan yang perlu diselesaikan dan tidak dapat membayar sekaligus. 

“Kami ada membuat rundingan untuk bayar secara ansuran sebab potongan KWSP ini adalah kewajipan syarikat. Mahu atau tidak kami perlu bayar kerana itu adalah hak pekerja,” katanya menerusi hantaran video di Instagram miliknya.

Sementara itu, Shuib memberitahu dia dan rakan kongsinya telah mengambil alih urusan syarikat sejak November tahun lalu selepas mendapati kelemahan pengurusan lalu. 

“Sepanjang beroperasi lebih tiga tahun kami lalui saat genting. Namun, Alhamdulillah kami diberi rezeki apabila kini mempunyai lebih 300 kakitangan, tapi realiti adat berniaga pasti ada fasa turun naik. Salah satu dugaan adalah isu ini.

“Masalah ini berlaku apabila bisnes ini memasuki tahun ketiga. Saya selaku pengasas, pemegang saham dan ketua pemasaran mendapati terdapat kelemahan pengurusan di bahagian kewangan.

“Tidak dinafikan kami meraih keuntungan yang tinggi sebelum ini, tapi apabila berlaku kelemahan ini banyak hal yang terjadi.

“Pada November 2022 saya bersama seorang lagi rakan kongsi ambil alih hal berkaitan pengurusan termasuk di bahagian kewangan,” katanya.

Shuib turut memberitahu tahun ini tidak menyebelahi sektor perkhidmatan makanan dan minuman apabila bisnes Bubble Bee mengalami penurunan jualan.

Selain itu, Shuib turut menyangkal dakwaan netizen yang menuduhnya seolah-olah mengabaikan kebajikan pekerja sedangkan dia hidup mewah.

“Satu benda yang kami nak tegaskan di sini ketika Bubble Bee berada pada fasa kejatuhan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19, kami tak pernah potong gaji pekerja termasuk tak pernah tak bayar gaji sejak kami beroperasi sehingga hari ini. 

“Kalau ada yang kata pengasasnya bermewah-mewah, takkan saya nak cakap berapa banyak duit dari poket sendiri sudah saya keluarkan untuk Bubble Bee. 

“Saya anggap ini satu dugaan dalam perniagaan. Saya dan pengurusan tertinggi perlu hadap perkara ini sebab kami percaya perniagaan ini boleh pergi lebih jauh melalui pengurusan yang betul,” tuturnya.

Shuib juga memohon maaf kepada kakitangan syarikatnya yang terkesan susulan isu kelewatan bayaran KWSP.

“Saya juga nak minta maaf kepada semua kakitangan termasuk, bekas pekerja, di atas kekurangan dan kekhilafan ini. Insya-Allah kami akan selesaikan secepat mungkin kerana saya tidak mahu ada salah faham.

“Alhamdulillah kami sudah buat pembayaran kepada KWSP dengan jumlah yang tinggi, cuma menunggu untuk keputusan baki jumlah ansuran dan nilai yang perlu dibayar.

“Itulah situasi sebenar yang berlaku. Jika tulisan yang viral itu menampakkan kami buat tak tahu langsung pada potongan KWSP kepada pekerja kami adalah salah.

“Saya tak nak orang luar berasa kami ambil hak pekerja apabila tidak mencarum KWSP langsung. Perkara itu tidak benar kerana itu adalah kewajipan Bubble Bee dan saya sebagai pengasas,” katanya.

Terdahulu syarikat minuman yang diasaskan Shuib, Bubble Bee dikatakan gagal membayar caruman KWSP dalam tempoh yang ditetapkan selepas tular surat terbuka daripada seorang individu tidak dikenali di aplikasi TikTok.

Malah, Bubble Bee didakwa turut tidak membayar gaji lebih masa pekerja.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This