SUSUK tubuh Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding rayuan, kelihatan semakin susut.
Bagaimanapun, wanita itu yang hadir ke mahkamah dengan memakai jubah berona merah jambu kelihatan ceria semasa menyapa ahli keluarga ketika keluar dari mahkamah selepas prosiding itu selesai.
Ketika disapa media sama ada dia sihat atau tidak, Siti Bainun hanya mengangguk sambil tersenyum.
Difahamkan berat badan Siti Bainun,150 kilogram (kg) sejak dipenjarakan di Penjara Kajang pada Mei lalu, kini merosot kepada 90kg.
Siti Bainun yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun mengalami penyusutan berat badan sebanyak 60kg.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan prosiding rayuan yang difailkan oleh Siti Bainun bagi mencabar sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadapnya kepada 30 Januari depan.
Hakim Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun memaklumkan bahawa dokumen nota keterangan saksi pembelaan ke-lapan masih belum tersedia.
Pada 3 Mei lalu, UtusanTV melaporkan Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Mahkamah juga memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Mahkamah turut mengarahkan Siti Bainun untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.
Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

