PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan daripada Naib Presiden Indonesia, Dr Ma’ruf Amin sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di Kuching, Sarawak.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri menyifatkan pertemuan tersebut sebagai peluang mengukuhkan tekad dan muafakat antara dua negara serumpun.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Dr Ma’ruf mengadakan perbincangan tentang pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama termasuk soal pelaburan, perdagangan dan tenaga kerja Indonesia.
Menurut Anwar, mereka berdua turut senada bagi memastikan isu berbangkit melibatkan kedua-dua negara dapat diselesaikan sesegera mungkin.
“Bapak Ma’ruf Amin turut menyentuh isu Palestin di mana beliau memaklumkan mengenai Hospital Indonesia di Gaza yang terpaksa dikosongkan akibat diserang rejim Zionis Israel.
“Saya juga maklumkan telah memberi kenyataan tegas terkait isu Palestin bersama Presiden Indonesia, Jokowi di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sewaktu menghadiri sidang APEC 2023 di San Francisco,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Pelantikan ahli JKMR manifestasi Kerajaan MADANI banteras rasuah – PM
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Dr Ma’ruf turut memuji Kerajaan MADANI yang kini bertambah kukuh dan stabil.
“Beliau berharap Malaysia dan Indonesia dapat bergerak sederap pada masa mendatang.
“Mendoakan agar hubungan kedua-dua negara terus mekar sekali gus membawa manfaat kepada rakyat keseluruhannya, insya-Allah,” katanya.
Anwar dan Ma’ruf dijadual menyampaikan ucaptama perasmian pada majlis makan malam gala GMBF 2023, malam ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga dijangka menyampaikan ucaptama pada majlis yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching.
Bertemakan ‘Inovasi dan Tranformasi dalam Ekonomi Islam’, sebanyak 37 negara akan menyertai GMBF 2023 sehingga Khamis ini dan dijangka menarik kira-kira 1,000 hadirin termasuk pemimpin global terkemuka.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

