KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 76 kilogram (kg) minyak masak serta 24 unit serbuk teh dalam serbuan ke atas dua buah restoran di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya berjaya menemukan 37 kg minyak masak di restoran pertama, manakala pemeriksaan di restoran kedua turut menemui 39 kg minyak masak.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis tidak mempunyai sebarang lesen atau permit barang kawalan bagi tujuan penyimpanan.

Jelasnya, kedua-dua premis berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Pemeriksaan di restoran pertama juga mendapati premis berkenaan gagal mempamerkan tanda harga bagi barangan yang dijual iaitu serbuk teh.
“Premis disyaki telah melakukan kesalahan serta akan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca juga: Dakwaan subsidi diesel dihapuskan mulai Januari tidak benar – KPDN
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, nilai rampasan bagi minyak dan serbuk teh bagi kedua-dua premis berkenaan dianggarkan berjumlah RM1,100.
Hasil pemeriksaan lanjut, Ariffin memaklumkan, kedua-dua premis dimiliki oleh warga Pakistan yang mempunyai kerakyatan Malaysia (Permastautin Tetap) dan telah menetap di negara ini sejak 20 tahun yang lalu serta telah berkahwin dengan warganegara Malaysia.
Jelas beliau, KPDN turut menahan dua pemilik untuk direkodkan keterangan serta mendapatkan maklumat lanjut bagi tujuan siasatan.

Katanya, KPDN juga akan turut menyiasat sumber bekalan yang diperolehi melibatkan kedua-dua buah restoran tersebut.
“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta akan mempertingkatkan pemeriksaan melibatkan restoran-restoran di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Para pemilik restoran juga perlu memohon permit barang kawalan bagi tujuan penyimpanan barang kawalan di premis-premis restoran jika melebihi kuantiti yang disyaratkan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

