SEORANG wanita kerugian RM194,560 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada Jumaat lepas melibatkan manga yang juga seorang pekerja swasta berusia 32 tahun di Seremban.
Menurut beliau wanita itu mendakwa menemukan iklan pinjaman wang di Facebook dan telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan individu yang menawarkan pinjaman wang sebanyak RM250,000.
“Mangsa telah membuat pembayaran deposit serta wang proses untuk mendapatkan kelulusan pinjaman dan antara 21 Dis hingga 2 Jan lepas.
“Wanita itu membuat pembayaran ke pelbagai akaun bank yang diberikan sindiket keseluruhan berjumlah RM194,560,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut Arifai berkata mangsa bagaimanapun gagal mendapatkan wang pinjaman tersebut.
Katanya mangsa yang curiga kemudian membuat laporan polis pada 5 Jan lepas.
Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Arifai sementara itu menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya kepada pihak yang menawarkan pinjaman wang secara dalam talian dan segera membuat semakan dengan polis untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.

