Tipu lelaki RM2,700 konon bagasi ditahan di KLIA, warga emas didenda RM2,500

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG warga emas didenda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas satu pertuduhan menipu seorang lelaki untuk memberikannya sejumlah wang kononnya beg bagasi miliknya ditahan di sebuah lapangan terbang pada Julai tahun lalu.

Majistret Amalina Basirah Md Top mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Raja Shahyan Raja Abdullah, 82, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Amalina turut mengarahkan agar tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan itu didakwa telah menipu mangsa, Abdul Khadar Ahmad Ali, 59, bahawa beg bagasinya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,700 yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Ampang, Selangor antara jam 1.40 petang pada 19 Julai 2023 sehingga jam 3.39 petang pada 24 Julai tahun yang sama.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Raja Shahyan Raja Abdullah, 83, didakwa atas kesalahan menipu sehingga mendorong seorang lelaki menyerahkan wang RM2,700 kepadanya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Terdahulu Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail yang mewakili tertuduh merayu agar tertuduh dikenakan denda yang minima memandangkan faktor usia tertuduh selain anak guamnya itu menghidapi penyakit prostat dan batu karang.

“Tertuduh mempunyai sembilan orang anak, tiga daripada mereka telah meninggal dunia. Isteri tertuduh juga telah meninggal dunia. Tertuduh ada penyakit prostat sejak lima bulan yang lalu dan perlu tukar tiub dua minggu sekali, yang mana janji temu rawatan seterusnya dijadualkan pada esok.

“Selain itu tertuduh juga ada masalah batu karang dan akan melakukan rawatan pembedahan laser pada Khamis ini. Mempertimbangkan faktor usia tertuduh, saya memohon denda seringannya ke atas tertuduh,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan berhujah bahawa faktor umur bukan satu faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

“Terutamanya dalam kes ini, sebagai seorang yang lebih berusia, saya percaya bahawa tertuduh lebih tahu dan faham bahawa memperdayakan merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum mengikut Kanun Keseksaan.

“Justeru, saya percaya bahawa mahkamah seharusnya tidak mengambil kira faktor umur tersebut,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Parlimen dijangka dibubar selepas pembentangan Belanjawan – Penganalisis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membubarkan Parlimen pada bulan November iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2027, Oktober depan. Pengarah...

More Articles Like This