DUA lelaki yang merupakan saksi utama dalam kes rasuah melibatkan seorang bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Mohd Sabu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menipu ketika memberikan keterangan kepada mahkamah dalam perbicaraan kes itu tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh yang juga merupakan dua beradik, Zainudin Abdul Majid, 43, dan abangnya, Ahmad Hisyam Mohd. Tajuddin, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut kertas pertuduhan, Zainudin didakwa atas lima pertuduhan menipu dalam keterangannya kepada mahkamah pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur masing-masing pada 21 Mac dan 7 April 2023.
Keterangan itu tidak selaras dengan pernyataan yang diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penolong Kanan Penguasa Shamsudin Md Noh di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dekat sini pada 4 November 2022.
Sementara itu, Ahmad Hisyam didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sama, yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 2 November 2022.
Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman denda yang boleh sampai RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan, setiap seorang tertuduh.
Muhammad Asraf dan Farah Yasmin turut mencadangkan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai sebagai syarat tambahan jaminan.
Bagaimanapun, peguam Wan Shahrizal Wan Laden yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak-anak guamnya kini sudah tidak bekerja.
“Kedua-dua tertuduh juga menanggung seorang ibu yang lumpuh. mohon jaminan sebanyak RM5,000 sahaja untuk setiap tertuduh,” katanya.
Hakim Siti Aminah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang tertuduh, dan bersetuju dengan cadangan syarat tambahan jaminan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 26 Februari depan di hadapan Hakim Rozina Ayub bagi sebutan semula kes.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

