AKTRES Azira Shafinaz menolak tanggapan segelintir pihak yang mengaitkan penurunan badannya itu ada kaitan dengan putus cinta.
Sebaliknya, kata Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan,33, dia sudah lama menjaga rutin pemakanannya agar kelihatan lebih yakin apabila beraksi di hadapan kamera.
“Saya dah lama amalkan Intermittent Fasting. Memang saya alami penurunan badan dengan cepat bila amalkan kaedah diet yang macam tu.
“Tak adalah sebab putus cinta ke apa. Saya masih bahagia sampai sekarang dengan orang yang sama, Alhamdulillah. Kami pun dah 12 tahun kenal.
“Selain tu, saya bakal masuk set penggambaran yang memerlukan saya kelihatan sedikit langsing,” katanya kepada URTV.
Azira berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada acara Rizman Ruzaini Raya 2024 Corture Collection di sebuah hotel terkenal di ibu negara, malam semalam.
Mengulas lanjut, Azira mengakui dia dan pasangannya sering berbincang soal rumah tangga namun masih belum sesuai untuk dikongsikan kepada umum.
“Kami selalu bercakap hal kahwin tapi saya tak boleh dedahkan apa-apa buat masa ini.
“Bila semua percangan sudah muktamad, baharu saya kongsikan berita gembira itu kepada semua,” ujarnya.
Pada usia 33 tahun, Azira semestinya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri.
Malah, 12 tahun perkenalan dengan kekasih hati adalah tempoh yang cukup matang untuk mengenali sikap dan hati pasangan.
“Umur saya dah 33 tahun, sudah sesuai untuk saya mendirikan rumah tangga.
“Nak tunggu sampai bila kan? Nanti hanya akan buang masa saja. Saya rasa seperti kalau bukan sekarang atau ia sama sekali tidak akan berlaku (it’s now or never).
“Jadi sekarang ini saya hanya tunggu masa yang tepat saja (kahwin),” ungkapnya.
September tahun lalu, Azira pernah memberi bayangan seolah-olah bakal mengakhiri zaman bujang apabila berkongsi ucapan istimewa buat kekasihnya, Yasser Khan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

