Ibu bapa dinasihat bawa anak berkhatan di fasiliti berdaftar KKM

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menasihatkan ibu bapa yang bercadang mengkhatankan anak mereka pada musim cuti sekolah ini supaya berkhatan di fasiliti yang berdaftar dengan KKM.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata mereka juga perlu memastikan proses berkhatan dikendalikan pengendali dan pengamal perubatan berdaftar dengan KKM serta terlatih dalam menjalankan prosedur itu.

“Sekiranya ibu bapa ingin mengkhatankan anak di program anjuran yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan, KKM menyarankan anak tersebut berumur tujuh tahun dan ke atas memandangkan mereka lebih matang dan bersedia secara mental, selain mempunyai keadaan fizikal atau anatomi zakar yang normal serta sesuai setelah menjalani pemeriksaan dan disahkan doktor sebelum berkhatan,” katanya.

Bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria di atas, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan di mana-mana fasiliti kesihatan berdekatan.

Dr Dzulkefly berkata berdasarkan audit berkhatan bagi kanak-kanak lelaki yang telah dijalankan oleh KKM pada cuti persekolahan sepanjang tempoh 14 Disember hingga 1 Januari lepas, terdapat peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital KKM bagi komplikasi selepas berkhatan.

Menurutnya ia melibatkan komplikasi minor seperti pendarahan dan jangkitan kuman, manakala komplikasi major seperti kecederaan pada glans penis, keradangan melampau dan pemotongan kulit berlebihan yang memerlukan pembedahan semula.

“Komplikasi ini tentu mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak, dan membawa kepada gangguan mental serta menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak itu sendiri,” katanya sambil menambah KKM memandang serius perkara itu.

Baca artikel lain: KKM pertimbang kawasan merokok bagi premis makanan di lokasi sempit

Beliau turut menegaskan terdapat beberapa masalah kesihatan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak itu menjalani prosedur berkhatan di luar hospital termasuk fizikal (anatomi) zakar yang tidak normal, pendarahan dan anak berkeperluan khas dan sebagainya.

Di samping itu, katanya sekiranya anak tidak dapat memberikan kerjasama semasa prosedur dijalankan, ibu bapa dinasihatkan tidak meneruskan prosedur itu sebaliknya membawa mereka ke hospital berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan selanjutnya.

“Bawa anak ke fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya berlaku komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan, perubahan warna pada zakar atau kulit sekelilingnya, jangkitan kuman (seperti demam, sakit dan bernanah) dan tidak boleh membuang air kecil, serta apa jua kebimbangan yang dirasakan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan,” katanya.

Pada ketika ini, beliau berkata bagi memastikan prosedur berkhatan yang dijalankan adalah selamat, KKM telah menubuhkan satu Kumpulan Kerja Teknikal yang terdiri daripada pengamal perubatan kerajaan dan swasta bagi pemantauan aktiviti berkhatan di Malaysia.

Menurutnya KKM turut menjalankan latihan secara berterusan kepada pengamal perubatan dan menjalinkan kerjasama erat bersama pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat prosedur berkhatan.

Tegas Dr Dzulkefly, hanya pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta terlatih dan kompeten sahaja dibenarkan menjalankan prosedur itu dengan kaedah dan peralatan yang telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Dalam pada itu, katanya penganjur program berkhatan di luar fasiliti kesihatan yang merancang untuk menganjurkan program berkhatan pada musim cuti persekolahan ini juga perlu memaklumkan kepada KKM.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

DAP tidak pernah, tidak akan ada dalam kerajaan Johor BN – Onn Hafiz

"DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN)." Demikian jaminan Pengerusi BN Johor, Datuk...

More Articles Like This