SEORANG bekas setiausaha sulit kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya diarahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.77 juta daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hashim, 33.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan kes prima facie.
“Justeru tertuduh diperintahkan untuk membela diri bagi lapan pertuduhan,” katanya.
Mahkamah kemudian memberikan tiga pilihan kepada Mohd Saifullah bagi membela diri iaitu yang pertama, berdiam diri; kedua, memberi keterangan di dalam kandang tertuduh, dan ketiga memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.
Peguam Haijan Omar yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan Mohd Saifullah daripada 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM820,530 daripada individu sama.
Sementara itu, tunang tertuduh, Nurfadziana Abdul Kadir, 32, dilepaskan dan dibebaskan atas satu pertuduhan bersubahat dengan Mohd Saifullah dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan bernilai RM232,000.
Haijan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan menganggil tiga saksi bagi prosiding bela diri yang ditetapkan bermula 17 April depan.
Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How, Noor Syafina Mohd Redzuan, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias.
Mengikut lapan pertuduhan, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada.
Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan perkara yang tertuduh berjanji mendapatkan tender “Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative) bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia” kepada Syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd untuk kempen pengiklanan Tourism Malaysia” kepada syarikat Inter Bev Network dan tender “Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020” secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.
Berdasarkan 11 pertuduhan pula, Mohd Saifullah didakwa menerima dan meminta suatu suapan berjumlah RM820,530 daripada Ronald dengan berjanji mendapatkan dua tender yang sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli belah Pavillion, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri, di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; di Vipod Residences; di Maybank lslamic Berhad, Wisma Genting; di premis di Temasya Anggun, Glenmarie, Selangor; Kota Damansara dan Petronas Dengkilantara 11 pagi hingga 11.30 malan, pada 21 Dis 2018 hingga 1 Mac 2019.
Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

