Lawatan Srettha bukti keikhlasan pemerintah Thailand terhadap penduduk Islam

Dari Penulis

DALAM usaha ‘menghalalkan’ tindakan ganas mereka di Selatan Thailand, selama bertahun-tahun puak pemisah melakukan propaganda kononnya pemerintah Thailand melakukan diskriminasi dan penindasan ke atas penduduk Islam di wilayah itu.

 Mereka cuba menggambarkan pemerintah Thailand menyekat kebebasan penduduk Islam termasuklah dalam berpakaian apabila ada dakwaan orang Melayu dihalang memakai baju Melayu dan aktiviti keagamaan mereka disekat. Melalui propaganda itu, mereka menjadikan ia sebagai alasan untuk menggugat kestabilan dan keamanan di Selatan Thailand.

 Srettha Thavisin yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-30 Thailand pada 22 Ogos 2023 amat menyedari cabaran besar dalam menangani konflik di wilayah tersebut dan paling mencabar ialah untuk membuktikan pemerintah Thailand sama sekali tidak pernah mendiskrimasi penduduk Islam.

 Cabaran Srettha lebih berat memandangkan pada pilihan raya Thailand baru-baru ini, parti Peun Thai tidak menang mana-mana kerusi di Yala, Narathiwat dan Pattani. Tetapi jutawan hartanah dan bekas Penasihat kepada Thaksin Shinawatra itu sama sekali tidak menjadikan ia alasan untuk mengabaikan apatah lagi mahu meminggirkan  penduduk Islam Selatan Thailand.

 Ia terbukti apabila selepas tiga bulan menerima lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke wilayah tersebut, Srettha melakukan pula lawatan selama tiga hari di Pattani, Yala dan Narathiwat bermula 27 Februari lalu dalam usaha mempromosikan pelancongan selain merangsang ekonomi tempatan.

 Lawatan itu turut menarik perhatian kerana ia dibuat kurang daripada dua minggu umat Islam akan menyambut bulan suci Ramadan. Ia sekaligus membuktikan  pemerintah Thailand di bawah kepemimpinan Srettha tidak pernah dan tidak akan membiarkan penduduk selatan Thailand biarpun parti beliau tiada kerusi di wilayah tersebut.

 Bagi Srettha, soal undi mengundi ia hanyalah ketika pilihan raya, maksudnya di gelanggang pilihan rayalah rakyat membuat keputusan siapa yang mereka mahukan. 

Apabila pilihan raya berakhir, tumpuan harus diberikan untuk sama-sama membangunkan negara tanpa mempedulikan sama ada kawasan itu menyokong parti beliau atau tidak.

Srettha mahu membuktikan beliau adalah Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Thailand tanpa mengira kaum dan latar belakang agama. Atas sebab itulah pentadbiran Srettha menganggap Selatan Thailand adalah permata tersembunyi kepada negara itu.

 Perdana Menteri Thailand itu tidak mahu mensia-siakan keistimewaan yang ada di Selatan Thailand, justeru itulah beliau melakukan lawatan sedemikian bagi menunjukkan betapa seriusnya pemerintah negara tersebut mahu memakmurkan wilayah berkenaan, mewujudkan kedamaian serta mensejahterakan penduduk Islam.

 Kalau melihat  jadual lawatan Perdana Menteri berusia 62 itu, ia agak menarik kerana salah satu tempat pertama yang beliau kunjungi ialah Masjid Kresik di daeah Muang, Pattani. Masjid itu amat dekat di hati penduduk Islam dan mencatatkan pelbagai peristiwa.

 Selain sejarahnya pembinaannya berusia lebih 200 tahun, Masjid Kresik ini juga dijadikan ‘alat’ untuk puak pemisah dan pejuang menentang pemerintah Thailand apabila mereka melakukan serangan pada setiap 28 April bagi mengingati peristiwa  terbunuhnya 32 penduduk Islam di dalam masjid itu pada 28 April 2004. Puak pemisah menuduh ia angkara tentera Thailand.

 Melalui lawatan Srettha, beliau mahu menunjukkan rasa simpati sekaligus membuktikan pemerintah Thailand tidak pernah merestui peristiwa berdarah seumpama itu. Berikutan itu adalah tidak wajar jika puak pemisah mahu terus menjadikanperistiwa Masjid Krisek sebagai modal bagi ‘menghalalkan’ perjuangan sia-sia kononnya untuk memerdekakan Pattani dan wilayah selatan Thailand yang lain.

 Selain Masjid Kresik, Perdana Menteri Thailand itu menjelajah wilayah-wilayah lain seperti Yala dan Narathiwat. 

Dalam lawatan itu, Srettha berusaha menyelami hati budi dan budaya kehidupan penduduk Islam apabila melawat masjid-masjid dan beramah mesra dengan mereka, tidak ketinggalan beliau turut melawat pasar tempatan.

Di Narathiwat, Srettha  melawat Muzium Khazanah Kebudayaan Islam dan Pusat Pengajian Al-Quran di daerah Yingor. Muzium yang beropetasi sejak 2010 mengumpulkan  79 naskhah al-Quran cetak dan al-Quran lama yang ditulis tangan serta berusia antara 150 tahun hingga 1,100 tahun.

Kewujudan muzium itu membuktikan pemerintah Thailand sama sekali tidak menghalang perkembangan dan aktiviti agama Islam oleh penduduk Islam di wilayah tersebut. Oleh itu lawatan Srettha memperkukuhkan lagi fakta itu. Sepatutnya, kelompok yang terus mahu memburuk-burukan pemerintah Thailand dalam soal layanan ke atas umat Islam menghentikan ‘kerja-kerja bodoh’ mereka. Lihat sahaja sambutan diberikan oleh penduduk Islam kepada Srettha.

 Mereka bangga dan terharu kerana Srettha bersedia melakukan lawatan ke wilayah itu dan membuktikan pemerintah Thailand sentiasa prihatian terhadap nasib penduduk Islam serta ikhlas untuk memajukan wilayah berkenaan.

 Kesimpulannya, lawatan Srettha memberikan isyarat kepada puak yang masih mahu menggugat kedamaian di Selatan Thailand supaya menghentikan perjuangan sia-sia mereka. Penduduk Islam mahu hidup aman damai dan melalui komitmen yang ditunjukkan oleh Srettha, insha-Allah impian mereka akan tercapai.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 bermaksud:

“…Dan bermusyawaralah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.’’.

Oleh itu, kelompok puak pemisah perlu menghargai kesungguhan dan keikhlasan Srettha dengan menjayakan rundingan damai yang sedang diusahakan pemerintah Thailand.

 Hentikanlah tindakan menggadaikan nyawa penduduk di Selatan Thailand. Kalau benar mereka berjuang demi masa depan penduduk Islam, maka cari jalan supaya kedamaian dapat diwujudkan di wilayah itu. Ingatlah pemerintah Thailand bukanlah seperti rejim Zionis yang membunuh dan mengusir rakyat Palestin daripada tanah air mereka.

 Sebaliknya pemerintah Thailand termasuklah Srettha tidak pernah berputus asa untuk mengembalikan dan mewujudkan kedamaian di wilayah tersebut. 

Dalam Islam pun, kita digalakkan mencari jalan perdamaian bukannya menumpahkan darah sehingga mengorbankan penduduk yang tidak berdosa. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Tidak lekang di bibir kebergantungan mutlak kepada Allah’ – Asyraf Wajdi

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai pemimpin muda...

More Articles Like This