SETELAH kejayaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang pada 10 dan 11 Februari tahun lalu, Popsicle Records dan New Boyz bakal menganjurkan satu lagi konsert bersempena dengan ulang tahun ke-25 kumpulan tersebut.
Ia sebagai tanda penghargaan kepada semua peminat dan penyokong mereka. Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur akan berlangsung di Plenary Hall KLCC pada 13 Julai depan, jam 8 malam.

Menurut Tomok, penganjuran konsert itu merupakan sebuah hadiah buat semua peminat yang menjadi tulang belakang sepanjang 25 tahun penubuhan karier New Boyz.
“Tak mampu saya nak simpan rahsia ini lagi. Oleh kerana sambutan yang luar biasa pada konsert tahun lalu yang kami adakan selama dua hari, serta kegembiraan kami dengan semua reaksi positif tentang konsert tersebut, kami teruja untuk mengadakan konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur, di lokasi yang berkapasiti lebih besar, iaitu di Plenary Hall KLCC,” ujar Tomok.
Kumpulan New Boyz yang pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat remaja itu ditubuhkan pada 1999 dan bergiat aktif sehingga 2007.
“Kejayaan konsert pada tahun lalu telah membuktikan bahawa peminat-peminat New Boyz masih utuh di belakang kami.
“Come back kami diterima dengan sangat baik dan kami ingin menghadiahkan konsert ini kepada semua yang menghargai kami.
“Semoga konsert ini dapat mengubat kerinduan semua,” jelasnya.
Penjualan tiket New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur sudah bermula pada 4 Mac di laman www.ticket2u.com.my.
Harga tiket bermula RM78 (CUBA CUBA), RM98 (NORKIA), RM198 (LUKAMU LUKAKU JUA), RM298 (MARAH BUKAN SIFATKU), RM398 (MERAUNG), RM498 (SEJARAH MUNGKIN BERULANG).

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

