Sembilan penyanyi, 30 buah lagu malar segar. Ternyata konsert ‘Rock Legend Berzaman’ yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini memberi kepuasan kepada lebih tiga ribu penonton yang didendangkan dengan lagu-lagu malar segar yang menjadi siulan ramai sejak dahulu.
Buat julung kalinya, konsert selama lebih tiga jam yang diacarakan oleh Aril AF ini menghimpunkan senarai penyanyi rock yang dikenali di atas satu pentas.
Azan dari kumpulan Scan tampil membuka tirai konsert dengan lagu hit beliau Disana Mawar Di Sini Penawar, Yang Kalut Difikiran dan Kau Dipaksa Aku Terpaksa.
Persembahan diteruskan dengan kemunculan Poey Sting yang menghiburkan penonton dengan lagu Adakah Kau Setia, Dalam Diam Aku Mencintaimu dan Kau Tetap Kuhajati.
Pentas semakin panas dengan kemunculan Hazama yang mendendangkan lagu kumpulan Iklim iaitu Bukan Ku Tak Sudi dan Aduhai Seribu Kali Sayang sebelum menutup persembahannya dengan lagu hitsnya, Relakan Jiwa.

Shihi dari kumpulan Data mengambil alih pentas dan membuat penonton semakin panas dengan lagu hitnya Nyanyian Rindu Buat Kekasih, Mengulit Kenangan dan Permaisuri.
Seterusnya, Ameng Spring pula muncul mendendangkan Cempaka Di Rembulan, Sejiwa, Butakah Cinta dan Romantis. Penonton kian terbuai dibawa kenangan lalu dengan persembahan Amir Uk’s dengan lagu Seksa, Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Ezad Lazim kemudian menyambung kehangatan dengan dendangan lagu Seperti Dulu, Masih Teserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar. Konsert kian panas dengan kemunculan Zamani dari kumpulan Slam yang menyanyikan lagu hit beliau Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan Gerimis Mengundang.
Kemuncaknya, Muss bekas penyanyi kumpulan May muncul menggegarkan konsert dengan lagu-lagu hit beliau iaitu Sinar, Cintamu Mekar Di Hati dan Sendiri.
Persembahan kesemua artis yang sama-sama menyanyikan lagu Srikandi Cintaku menjadi penamat.


Menurut ketua Pegawai Operasi RAR Sky Entertainment, Rose Azlin Rosli atau lebih mesra dipanggil Nona bersama suami, Iskandar Ali sebagai penganjur, pihak mereka begitu terharu akhirnya konsert ini berjaya dan telah mencatat sejarah tersendiri.
“Walaupun agak sukar untuk menghimpunkan sembilan legenda rock terkenal tanah air di atas satu pentas, kami berjaya melakukannya. Diharapkan ia mengubat kerinduan semua peminat muzik rock tanah air,” ujar Nona yang menyifatkan, kejayaan konsert pada malam tersebut adalah kerana pemilihan artis yang dipilih oleh penaja iaitu Kak KM.
“Saya peminat tegar lagu-lagu bergenre rock jiwang dan tangkap leleh malah sering mendengar lagu-lagu tersebut sewaktu memasak di dapur setiap pagi. Saya membesar dengan rock kapak, memang sangat teruja dengan kejayaan konsert ini. Paling best bila penonton turut sama menyanyi,” kata Kak KM yang turut hadir pada malam itu.

