AHLI Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob menegaskan, beliau lebih rela meletakkan jawatan itu daripada menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam wawancara bersama TV Pas, Fathul Huzir mendedahkan, ada menerima tawaran menyokong Anwar pada Oktober lalu melalui seorang ‘wakil’.
“Hujung bulan 10 saya ‘down’ duit tidak ada, masa itu saya dapat tawaran-tawaran ini, (ada pihak tertentu) telefon nak jumpa. Saya (kemudian) jumpa Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), saya kata kalau macam ini saya rasa nak berhentilah, nak sokong ‘PMX’ (Anwar) tak mungkin,” katanya.
Fathur Huzir menegaskan, jika tidak mampu dari segi kewangan untuk menolong rakyat di kawasan Parlimennya, beliau lebih rela meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada rakyat memilih Ahli Parlimen baru.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Bersatu bagaimanapun membatalkan hasrat itu selepas mendapat nasihat dan kata-kata semangat daripada Hamzah.
Dalam wawancara itu Fathul Huzir menceritakan pengalaman selepas lebih setahun menjadi Ahli Parlimen Gerik.
Sambil menyifatkan ia sangat mencabar, Fathul Huzir berkata, beliau terpaksa menggunakan gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen untuk menampung perbelanjaan pejabat dan kebajikan penduduk.
“Boleh dikatakan setiap bulan saya belanja tak kurang RM15,000, untuk pejabat, gaji pekerja dan sebagainya, memang tak cukup.
“Ini peluang saya perjelaskan kepada rakyat di Parlimen Gerik khususnya, sejak jadi wakil rakyat, terus terang, saya hanya dapat gaji sahaja, peruntukan Parlimen yang kata setahun RM4 juta hingga RM5 juta kita tak dapat langsung,” katanya.
Ketegasan Fathul Huzir mempertahankan prinsip menarik perhatian ketika sekurang-kurangnya enam Ahli Parlimen Bersatu dan ADUN Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

