PERIKATAN Nasional (PN) bukan milik mana-mana parti secara mutlak.
Demikian penegasan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, PN merupakan gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas menegaskan, parti itu juga adalah antara parti pengasas PN.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri berkata, beliau sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN.
“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak.
“Ia hendaklah dirujuk kepada Perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah untuk memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab.
Katanya, ia demi kepentingan rakyat dan negara.
Isnin lalu, Pas secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan, berkata parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas, atas prinsip penyatuan ummah.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

