UMAT Islam seluruh negara akan mula menunaikan kewajipan ibadah puasa sempena kehadiran bulan Ramadan pada hari Selasa ini, 12 Mac 2024.
Perkara tersebut dimaklumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, sebentar tadi.
Syed Danial memaklumkan, tarikh permulaan ibadah puasa itu ditetapkan menurut titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan memaklumkan tarikh melihat anak bulan telah ditetapkan hari ini iaitu Ahad 10 Mac bersamaan 29 Syaaban 1445 Hijriah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Permulaan Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Kenyataan itu menyebut jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.
Selain itu Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Lokasi melihat anak bulan di Perak adalah di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Baca artikel lain: 4 imam Al-Azhar dijadual berada di masjid terpilih sepanjang Ramadan
Lokasi lain ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu, serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.
Selain itu Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak, Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; dan di Pahang adalah di Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188.
Turut menjadi lokasi melihat anak bulan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

