USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri meminta seorang komposer untuk mengembalikan wang sebanyak RM15,000 yang dibayar bagi menghasilkan lagu raya terbaharunya.
Aliff atau nama penuhnya Aliff Syukri Kamarzaman,36, menerusi video di Instagram miliknya, menggesa individu terbabit untuk segera memulangkan wangnya biarpun lagu tersebut telah diberikan kepada penyanyi lain.
“Saya sudah bayar RM15,000. Saya pun tak hadap dengan lagu kau, banyak lagi orang lain.
“Tapi tolong pulangkan duit saya balik,” ujarnya.
Menurut Aliff, lagu tersebut sudah siap dirakamkan sebelum diberikan kepada penyanyi tersebut.
Aliff akui terkejut biarpun sudah berbuat sehabis baik sebaliknya masih lagi dikhianati.
“Boleh pula dia rakam lagu tu dan siap buat video. Tak sangka dalam dunia ni, kita buat baik dengan orang tapi orang buat jahat dengan kita,” luahnya lagi.
Aliff menyatakan bahawa dia percaya dengan aura dan bakat yang ada di dalam dirinya.
Malah, dia juga yakin tiada siapa mampu melawan suaranya meskipun lagu nyanyiannya diberikan kepada penyanyi lain.
“Saya percaya saya ada aura dan bakat. Walaupun lagu saya kena rampas dengan orang lain, tetapi dia tidak mampu lawan suara saya,” katanya lagi.
Aliff juga menyatakan bahawa lagu raya pada tahun ini tidak dapat dikeluarkan kerana terlalu sibuk dan akan cuba berusaha melakukannya pada tahun hadapan.
“InshaAllah, tahun depan ada lagu yang saya akan usahakan. Tahun ini mungkin saya tidak sempat nak buat sebab terlalu ‘rushing’,” jelasnya.
Melihat ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya mendoakan agar dia berjaya mendapatkan semula wang yang telah dilaburkan.

