PELAKON Puteri Sarah Liyana menitipkan pesanan buat Bella Astillah yang sedang diduga dengan pergolakan rumah tangganya.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, yang sebelum ini pernah menghadapi konflik berikutan rumah tangganya bersama bekas suami, pengarah Syamsul Yusof, 39, disebabkan orang ketiga sehingga berlakunya penceraian.
Menerusi entri di Instagram Story, Puteri Sarah meminta Bella agar tidak takut untuk melepaskan meskipun mengetahui bahawa mengakhiri hubungan adalah sesuatu yang menyakitkan.

“Dulu saya sangat takut untuk melepaskan. Dulu saya sangat benci perpisahan. Dulu saya benci mengakhiri sesuatu. Dulu saya sangat takut betapa sakitnya hati saya ketika mereka tidak ada lagi dalam hidup saya.
“Saya memiliki banyak pertanyaan bagaimana, jika dan apa yang bisa terjadi kemudian dan disitulah kesalahan saya selama ini (takut akan segalanya),” katanya.
Jelas Puteri Sarah, selepas dia membiarkan semuanya ‘pergi’, dia kini lebih tenang selain hidupnya ketika ini sangat indah.
“Dan sekarang saya mengerti. Ketika sesuatu berakhir, itu berakhir kerana sesuatu alasan. Ketika sesuatu tidak berhasil kerana sesuatu alasan. Kamu tahu melepaskan itu indah,” katanya.
Pelakon itu juga mengingatkan Bella bahawa setiap peristiwa datang dengan izin-Nya, dan meminta agar sentiasa bersabar kerana akan ada keindahan yang menanti dirinya.
“Terkadang, itu sulit. Tapi selalu ingatkan dirimu bahawa setiap yang berlaku atas izin-Nya. Lepaskanlah hal-hal yang menyakitimu.
Bersabarlah dalam prosesnya. Kerana setelah setiap kesabaran, ada hal yang indah yang menantimu,” ujarnya lagi.

