MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap enam lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.
Mereka ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34; serta S Nimalan, 31.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan yang difailkan enam lelaki berkenaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai, 2020 yang telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap kesemua lelaki berkenaan.
Hakim Hadhariah berkata setelah meneliti kesemua alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi dan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kekhilafan dari segi undang-undang dan fakta.
“Sabitan yang dikenakan (terhadap ke-enam-enam lelaki) oleh Mahkamah Tinggi itu adalah betul,” kata beliau.
Hakim Hadhariah berkata kejadian membunuh dirancang rapi dan keadaan mayat si mati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman kesemua tertuduh.
Pada 10 Julai 2020, semua lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Morais.
Baca artikel lain: Draf kerja Rang Undang-Undang Keselamatan Digital 2023 telah dirangka – Azalina
Mereka didakwa membunuh Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.
Mendiang dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Mayatnya ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September tahun sama.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

