SELEPAS lama mengunci mulut akhirnya pelakon Ruhainies tampil memberikan penjelasan susulan dakwaan terbabit dalam kes khalwat bersama aktor Aliff Aziz di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Sabtu lalu.
Menerusi Instagram miliknya sebentar tadi, Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas,32, memberitahu sepatutnya pada malam kejadian, adik-beradiknya bercadang untuk bermalam dan makan bersama di rumahnya.
Malah, Ruhainies turut mempelawa Aliff untuk turut serta memandangkan suami kepada Bella Astillah itu sudah mengenali keluarganya sejak 10 tahun lalu.
“Pada hari itu, saya baru selesai menjalani penggambaran dan konvoi bersama PA (Pembantu Peribadi) pulang ke rumah. Hari itu juga, adik-beradik memang merancang tidur di rumah.
“Jadi, kami rancang makan bersama adik-beradik dan beberapa rakan lain.
“Memandangkan Aliff baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput untuk turut serta kerana dia juga mengenali keluarga serta adik-beradik saya sejak 10 tahun lalu.
“Aliff bersetuju sebab sudah lama tak berjumpa dengan mereka. Risteena maklumkan kepada saya, dia dalam perjalanan ke rumah, namun, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
“Jadi, saya buat keputusan untuk naik ke rumah dan letakkan barang keperluan shooting saya,” katanya.
Kata Ruhainies, sementara menanti ketibaan adik-beradiknya, dia dan Aliff sempat berborak di ruang tamu sebelum pintu rumah diketuk seseorang.
“Saya ingatkan itu kakak saya sebab dia cakap sudah nak sampai. Tapi, apabila mendengar suara lelaki, semestinya saya takut untuk membuka pintu atas faktor keselamatan.
“Kemudian, saya hubungi semula kakak supaya datang secepat mungkin dan periksa siapa di depan pintu.
“Apabila sampai, dia sahkan itu adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan polis.
“Dia maklumkan kepada mereka, dia memang sepatutnya sudah sampai dan berada bersama dalam rumah kerana berjanji untuk turut serta. Tapi, disebabkan kesesakan lalu lintas terpaksa ambil masa lebih lama memandangkan keesokan hari adalah hujung minggu,” tulisnya.
Malah, Ruhainies turut dimaklumkan oleh kakaknya bahawa Bella dan pihak media turut berada di luar pintu rumahnya.
“Jadi, atas faktor keselamatan dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku, kakak minta saya tidak membuka pintu dahulu.
“Selepas berbincang dan ada budi bicara agar pihak berwajib sahaja yang ada di depan pintu, barulah saya buka.
“Selepas dijalankan pemeriksaan, tidak ada apa-apa berlaku. Tetapi, hanya mengikut prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, saya hanya perlu memberi keterangan sahaja.
“Selepas selesai, saya kembali ke rumah,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Ruhainies tetap mengaku tindakannya bersama Aliff dalam satu rumah adalah salah di sisi agama kerana mewujudkan situasi syak wasangka yang seharusnya dapat dielakkan.
“Saya mengakui kekhilafan saya disisi agama kerana berada dalam situasi itu.
“Siasatan dijalankan oleh Jawi dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Jawi atas kerjasama, penjagaan penuh diberikan kepada saya ketika kejadian. Siasatan telus juga telah dibuat oleh Jawi.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi.
“Aliff adalah rakan dan kenalan keluarga saya termasuk adik-beradik sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Ruhainies berharap dengan kenyataan tersebut, tidak ada pihak lain yang menjadikan sebagai bahan provokasi selain bersedia untuk bersemuka dengan Bella bagi menjernihkan semula keadaan.
“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah.
“Saya juga bersedia untuk berbincang apabila Bella sudah bersedia. Saya berharap kenyataan saya ini tidak akan dijadikan bahan provokasi kerana saya tidak ada niat ke arah itu, sebaliknya bersedia menjernihkan keadaan antara kami bertiga.
“Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tak boleh memaksa sesiapa untuk percaya.
“Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi daripada saya,” ungkapnya.
Terdahulu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di ibu negara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

