TIADA kata yang boleh digambarkan buat pereka muda Amirul Safwan apabila melihat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menggayakan baju rekaannya dalam sebuah konsert mega di Axiata Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Pengasas jenama Bianca Bella, Amirul, 28, dengan kerendahan diri berkongsi perasaan bersama pasukannya saat melihat baju mereka menjadi pilihan dan digayakan dalam konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza.
“Segalanya bermula ketika kami diberi kepercayaan menyiapkan baju TokTi pada persembahan sempena tahun baru dan melawat Melaka 2024 lalu. Di situlah detik perkenalan kami bermula.
“Bila mendapat peluang untuk menyediakan busana sempena konsert TokTi, saya dan pasukan tahu ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.
Digelar Adik Bianca oleh Siti Nurhaliza, Amirul berkata, baju berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan serta dibantu oleh Shafik Izzuddin dan Norshazratul Aisyah.
Katanya, warna dan fabrik yang digunakan bagi busana itu ialah songket tempatan yang dipilih sendiri oleh Siti Nurhaliza.
“Memang teruja pada masa sama gementar maklumlah kami masih setahun jagung tapi diberi kepercayaan oleh penyanyi hebat seperti TokTi.
“Jujurnya, tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini saya tidak pernah terlintas akan jahit dan reka pakaian untuk TokTi, ini semua rezeki sangat bermakna,” ulasnya.
Bianca Bella beroperasi di Duyung, Melaka itu sudah dua tahun aktif dan menawarkan koleksi rekaan baju eksklusif terutama untuk raja sehari.
Lebih bermakna apabila baju rekaannya itu mendapat pujian ramai termasuk netizen yang memilih ia antara yang terbaik pernah disarungkan oleh penyanyi Menyapa Dunia itu.

Siti Nurhaliza turut dipuji kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada pereka muda untuk menyiapkan baju dalam konsert berskala besarnya.
Perkongsian Siti Nurhaliza pada hantaran di akaun Instagram miliknya mendapat hampir 40,000 tanda suka dengan 400 komen.
Bercerita lanjut, Amirul mengakui terharu dan kagum dengan sifat merendah diri Siti Nurhaliza.
“Semua proses berjalan dengan lancar dan mudah. TokTi sangat profesional dan tahu apa yang diinginkan oleh dirinya.
“Bagi kami, pastinya berusaha mahu memberikan yang terbaik. Alhamdulillah dengan reaksi positif yang diterima lebih-lebih lagi untuk orang baru seperti kami,” katanya.
Amirul juga mengakui berkat doa ibu bapa juga antara yang memungkinkan segalanya dan menjadikan semua ini kenyataan.
“Kami masih baru, ini permulaan yang sangat bermakna dan indah buat kami. Terima kasih kepada Tokti, Kak Rozie dan pasukannya yang percaya pada kami.
“Pastinya pengalaman ini sangat berharga buat Bianca Bella dan menjadi pemangkin untuk kami terus menjadi lebih baik,” tuturnya.
Baju rekaannya dalam rona emas merah hati gelap, digayakan oleh Siti Nurhaliza pada segmen Bayu Timur di konsert yang berlangsung pada 9 Mac lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

