PELAKON Hannah Delisha mendedahkan impian untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila mengalami keguguran.
Hannah atau nama penuhnya, Hannah Adlina Blackburne Birch,28, berkongsi berita sedih tersebut menerusi platform X, menyatakan bahawa pengkongsiannya itu dapat memberikan semangat kepada wanita yang pernah mengalami situasi yang sama dengan dirinya.
“Mengalami keguguran saya yang pertama. Saya ingin berkongsi rasa cinta dan kekuatan kepada semua wanita yang pernah keguguran.
“Kesedihan yang tidak tertanggung oleh ramai wanita tetapi tidak dikongsi.
“Saya berharap dengan membaca pengkongsian ini, dapat beri kekuatan kepada wanita yang pernah kehilangan bayi mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian,” luahnya menerusi platform X miliknya.
Pelakon tersebut turut menitipkan doa agar diberikan kesembuhan dan kekuatan serta berharap dapat bertemu anaknya di syurga kelak.
“Semoga Allah memberi kesembuhan, meringankan kesakitan dan mengisi hati dengan ketenangan dan keselesaan. Insya-Allah jumpa di syurga nanti sayang,” tulisnya.
Menerusi ruangan komen, ramai yang memberikan kata-kata semangat buat Hannah.
Terdahulu, Hannah ada berkongsi foto di Instagram story yang memperlihatkan dirinya sedang dirawat di hospital.
Hannah mendirikan rumah tangga dengan Iman Shah pada Febuari 2021.

