PELAKON, Datin Lisa Surihani memutuskan untuk tampil dengan lebih berani dan bersedia dalam menyerikan program Jom Khatam setelah beberapa kali menolak tawaran tersebut kerana berasa malu dengan kualiti bacaan al-Quran.
Menurut Lisa Surihani Mohamed atau lebih mesra dengan panggilan Lisa, 37, menyatakan hampir setiap tahun di undang untuk menyertai program tersebut, namun sering menolaknya kerana masih merangkak membaca kitab suci itu.
Namun pada tahun ini, Lisa akui terbuka hati untuk muncul dalam program tersebut dan merasakan pengalaman ketika menghadiri kelas mengaji di dalam sesi pengembaraan telah menguatkan keyakinannya, di samping ingin mendapat reda Ilahi.
“Tidak tahu mengapa, namun kali ini saya merasa lebih terbuka untuk terima dengan ilham yang saya anggap pengalaman ‘shooting’, seperti hadir di kelas mengaji bersama qari.
“Saya berharap usaha kecil ini diterima dan mendapat reda Allah. Hubungan saya dengan al-Quran masih banyak yang perlu ditingkatkan.
“Saya berharap dengan cara ini dapat membuka pintu untuk mendapatkan reda Allah dan menjadikan kitab suci tersebut sebagai sahabat yang baik,” ujarnya semasa tampil membacakan surah al-Baqarah dan Ali Imran dalam program terbitan Astro Oasis.
Dalam pada itu, pelakon Istanbul Aku Datang ini turut menyatakan penghijrahan bukan beban baginya. Namun kesusahan yang ditempuhi menimbulkan rasa syukur dan sentiasa mengingat dirinya kepada Allah SWT.
“Sudah menjadi lumrah dan fitrah manusia mempunyai hati yang berbolak- balik. Tetapi, saya tidak pernah menganggap penghijrahan itu adalah beban.
“Bagi saya, penting untuk mengalami kesukaran agar kita lebih menghargai nikmat. Ketika menghadapi kesukaran, kita akan lebih cenderung mengingati Allah, berbanding ketika mencapainya dengan mudah.
“Saat iman merosot, penting untuk selalu mengingatkan diri sendiri. Insya-Allah dengan izin Allah, kita akan buat sesuatu untuk perbaiki diri dengan meningkatkan keimanan,” ujarnya.
Kira-kira lima tahun lalu, Lisa yang merupakan isteri kepada komposer dan pengarah terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim itu memutuskan untuk istiqamah dalam berhijab setelah pulang dari umrah.
Baginya, keputusan ini tidak hanya menyaksikan perubahan penampilannya sahaja tetapi juga dianggap sebagai langkah terbaik dalam usahanya mencari reda Allah SWT.

