SETAKAT ini seramai 27,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penyaluran bantuan sejak September itu menyasarkan veteran yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Katanya, kerajaan komited membantu golongan tersebut dengan peningkatan peruntukan dan sentiasa memantau aspek kebajikan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
“Sumbangan paling besar yang kita beri pada tahun ini adalah BSH kepada anggota veteran tidak berpencen. Mereka selama ini hanya dapat bantuan ‘one-off’ atau sekali bayar, kadang-kadang satu tahun sekali.
“Sekarang ini kita bagi RM300 sebulan kepada mereka yang berada di bawah garis kemiskinan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Parlimen Alor Gajah di Gangsa, malam tadi.
Mengenai kesiapsiagaan aset udara ATM dalam membantu operasi pembenihan awan (OPA) susulan cuaca panas ketika ini, Adly memaklumkan, pihaknya sedia memberikan kerjasama penuh jika diminta.
“Biasanya jika ada permintaan daripada pihak berkaitan, kita beri kerjasama dan aset kita juga dalam keadaan bersedia.
“Sebelum ini kita pernah buat di Sabah dan jika di Semenanjung ada tuntutan pun, kita akan bantu,” katanya.

