PEMPENGARUH media sosial dan pelakon, Aizat Saha menafikan keputusannya untuk meninggalkan bidang pramugara bukan atas faktor wang atau kurang sinar dalam industri penerbangan.
Aizat atau nama penuhnya, Mohd Aizat Saharuddin,28, menjelaskan sebelum ini dia hanya perlu fokus kepada dua pekerjaan iaitu perniagaan dan sebagai pramugara.
Bagaimanapun, pada tahun lalu, dia diberi rezeki untuk menjadi seorang pempengaruh, yang menjadikannya satu cabaran untuk menguruskan tiga pekerjaan sekaligus.
“Sebelum ini, saya memang sudah ada perniagaan sendiri dan bekerja sebagai pramugara. Jadi saya buat dua pekerjaan dan masih boleh komited.
“Tetapi, mulai dari tahun lepas saya diberi rezeki dikenali ramai, jadi bila sudah dikenali makin sibuk dan kena fokus tiga pekerjaan pula.
Bagi saya untuk melaksanakan tiga pekerjaan dalam satu masa agak mencabar,” ujarnya.
Menurut Aizat, dia terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan salah satu pekerjaannya demi memberi fokus kepada bidang lain.
“Jadi saya kena membuat keputusan untuk melepaskan sesuatu demi mencapai kerjaya lebih lagi.
“Saya lepaskan kerjaya pramugara sebab saya nak fokus perniagaan dan membuat konten di media sosial,” katanya kepada URTV.
Aizat turut berkongsi bahawa drama yang dilakonkannya sebagai watak sampingan seorang pelajar kolej akan disiarkan tidak lama lagi di stesen televisyen walaupun masih belum dimaklumkan tarikh tayangan.
Aizat yang ditemu ramah di Aeon Mall Shah Alam untuk pelancaran lagu raya Nabila Razali. Dia hadir ke acara tersebut kerana berperanan sebagai hero dalam muzik video Raya Mana?
Untuk rekod, Aizat mula terkenal pada sekitar Ogos tahun lalu di TikTok sejak video ‘point of view’ atau POV yang mengisahkan pasangan kekasih mula tular dan meningkatkan popularitinya dengan cepat.

